AMANAH bukan untuk dijual

 


Oleh DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA

AMANAH sebuah parti yang terasas atas kesedaran prinsip berintegriti dalam perjuangannya.

Setiap ahli yang secara sukarela memilih untuk bersama AMANAH perlu memahami terlebih dahulu bahawa AMANAH juga adalah parti yang berpegang kepada kesetiaan perjanjian dengan rakan-rakan komponennya.

Sedari polemik galas-ganti kepimpinan negara selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, AMANAH tetap berpegang kepada keputusan awal Pakatan Harapan (PH) bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) adalah pengganti Tun M tanpa pertikaian.

Apabila Tun M meletakkan jawatan tanpa konsultasi Majlis Presiden PH, AMANAH kekal berpendirian bersama PH dengan menyokong teguh kepimpinan DSAI sebagai Pengerusi PH.

Semua keputusan dalam Majlis Presiden PH dibuat secara kolektif termasuk menyokong usaha-usaha PH untuk mengembalikan mandat rakyat pasca pembelotan Langkah Sheraton.

Tidak timbul soal AMANAH membuat langkah dan tindakan terkeluar daripada premis keputusan di Majlis Presiden PH.

AMANAH telah menegaskan bersama usaha DSAI meyakinkan 222 Ahli Parlimen supaya menyokong majoriti yang kukuh dan kerajaan yang stabil setelah PN gagal memenuhinya.

Cakap-cakap kononnya AMANAH mengambil arus berbeza menyokong Tun M adalah tindakan berniat jahat memburukkan imej AMANAH apatah lagi dengan ‘menyerang’ peribadi Presiden AMANAH sebagai penyebab perpecahan dalam AMANAH.

Pihak yang bertanggungjawab atas naratif ini harus meminta maaf atas usaha memburukkan AMANAH ini secara sengaja atau tidak dan sekali gus merosakkan kesatuan dalam PH yang merugikan.

Jangan kaitkan sama sekali tindakan individu seperti ADUN Meru atau sesiapa sahaja dari ahli AMANAH sebagai respons kepada ‘kekecewaan sikap parti AMANAH terhadap DSAI.’

ADUN Meru tidak wajar membayangkan demikian walau sekelumit pun kerana hakikatnya tindakan YB tersebut adalah atas pilihan dan masalahnya tersendiri dan tidak ada kena mengena dengan fitnah keretakan kepercayaan AMANAH terhadap kepimpinan DSAI.

AMANAH akan tetap konsisten dengan pendirian setia bersama rakan-rakan seperjuangannya dan mengharapkan kesetiaan ini tidak disia-siakan dengan mengambil ringan soal individu AMANAH yang ada kepentingan diri bertukar rumah rakan sesuka hati.

Marilah kita memelihara kesatuan kita semua untuk mengembalikan mandat rakyat dan tidak diganggu-gugat dengan insiden individu yang suka berpindah-randah tanpa tujuan.

 *DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah Naib Presiden AMANAH merangkap Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia AMANAH.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments: