Bir bukan minuman keras, boleh dijual di kedai runcit, kata Annuar Musa


 Baru sahaja penyokongnya meloncat gembira dengan pengumuman bahawa semua kedai runcit dan serbanika tidak lagi dibenarkan menjual arak di Kuala Lumpur, tetapi ia telah menjadi u-turn.

Ini berikutan pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang memaklumkan, bir tidak tersenarai minuman keras yang memabukkan dan masih dibenarkan dijual di kedai runcit serta serbaneka, namun perlu mengikut tempoh waktu ditetapkan.

Penjualan minuman keras di kedai ubat tradisional Cina juga dibenarkan untuk tujuan perubatan yang disahkan mengikut kategori-kategori yang ditetapkan.

“Ada garis panduan lama yang dikekalkan termasuk larangan menjual arak di tempat sensitif seperti berhadapan sekolah dan rumah ibadat,” katanya ketika mengulas garis panduan LMK (liquor yang memabukkan) di Wilayah Persekutuan, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, banyak pihak memperjuangkan agar arak termasuk bir tidak dijual di kedai-kedai runcit dan serbanika.

Pengumuman Annuar Musa bahawa keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 muktamad di sambut gembira.

“Keputusan DBKL tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 adalah muktamad,” kata Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu melalui ciapan di Twitternya.

Tetapi dengan pengumuman Annuar yang terbaru ini, pengumuman beliau sebelum ini tidak mengubah apa-apa.

DBKL sebelum ini mengeluarkan garis panduan minuman keras tidak dibenarkan di jual kedai runcit, serbaneka dan kedai menjual ubat tradisional Cina sekitar Kuala Lumpur bermula 1 Oktober 2021.

Ia disambut dengan baik oleh pelbagai pihak khasnya Pas dengan anggapan semua jenis arak tidak akan dijual lagi di mana-mana kedai runcit dan serbanika (7-eleven, Speedmart dan lain-lain)  di Kuala Lumpur.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dengan penguatkuasaan tersebut ia tidak bermakna masyarakat bukan Islam tidak dibenarkan meminum minuman keras kerana ia boleh dibeli di kedai-kedai menjual arak.

Anak presiden Pas itu berharap semua pihak mematuhi arahan mahu pun garis panduan baharu itu kerana ia adalah untuk kebaikan semua dan meminta agar ia tidak dipolitikkan.

“Saya merasakan bahawa usaha ini wajar diberikan pujian dan berharap langkah ini dicontohi oleh negeri-negeri lain mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan