‘Zafrul cakap hal ekonomi, kewangan negara semakin berbau politik selepas dilantik Bendahari BN Selangor’

Orang daripada sektor swasta dan wartawan ekonomi taklah teruja sangat dengan Menteri Kewangan, (Senator) Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz. Malah banyak yang terkejut bila dia dilantik anggotai Kabinet oleh Mahiaddin Md Yasin.

Dia ini macam batu bergolek yang pindah daripada sebuah syarikat ke syarikat yang lain. Tapi nasib dia baik. Terus naik dan naik. Ada orang kata kerana “pedigree” (asal usul keturunan) dan ada kata kerana “royal connection” (kaitan diraja).

Apa-apa pun sejak Mac 2020 dia Menteri Kewangan dan segala rancangan, tindakan, tindak tanduk dan cakap dia bagi kesan kepada negara serta rakyat jelata. Dia melawak pun boleh bagi kesan kepada ekonomi.

Sejak akhir-akhir ini, orang biasa pun mula berasa pelik dengan kenyataan-kenyataan dia berkenaan ekonomi dan kewangan. Misalnya dia dilaporkan berkata, kerajaan tidak terlalu tumpu perhatian kepada prestasi ringgit tapi kepada pertumbuhan ekonomi.

Kenyataan macam ini tentulah kelirukan orang ramai yang kurang faham atau tidak faham langsung berkenaan ekonomi. Orang yang tahu pula kata, dia dah mula merapu atau berdolak-dalik.

Bernama petik dia sebagai berkata, kerajaan tidak akan “terlalu fokus” kepada prestasi ringgit sebaliknya akan terus beri tumpuan kepada prestasi ekonomi jangka sederhana dan panjang.

Macam mana dia boleh kata macam itu seolah-olah duit tidak penting sedangkan duit adalah ukuran nilai segala-gala yang kita hasilkan dan gunakan. Nampak seolah-olah dia nak lari daripada realiti atau cuba remehkan sesuatu yang pokok kepada ekonomi negara iaitu kadar tukaran ringgit yang jatuh merudum.

Banyak orang sudah tahu yang beberapa langkah kerajaan, termasuk yang dibuat melalui Bank Negara, telah gagal atau belum berjaya capai hasil yang diharapkan. Contohnya langkah Bank Negara naikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak tiga kali mulai Mei lalu gagal kukuhkan kadar tukaran ringgit. Sebaliknya ringgit terus jatuh ke paras paling rendah dalam sejarah.

Pada teorinya, apabila Bank Negara naikkan kadar faedah, kadar tukaran ringgit akan turut naik. Tetapi yang sebaliknya berlaku. Kadar faedah naik, kadar tukaran ringgit jatuh.

Bank Negara naikkan OPR tiga kali sejak Mei, mula-mula kepada dua peratus kemudian 2.25 peratus dan 2.50 peratus. Pada 15 Mei kita perlu RM4.20 untuk beli satu dolar Amerika tapi semalam kita perlu RM4.54 yang bererti nilai duit kita telah jatuh 34 sen bagi setiap satu dolar dalam masa empat bulan.

Ringgit yang murah sepatutnya tarik minat pelabur asing kerana dengan dolar yang mahal itu mereka boleh mendapat lebih banyak ringgit. Tetapi itu pun tak berlaku kalau kita tengok sambutan terhadap saham-saham di Bursa Malaysia. Sebaliknya pelabur asing lebih banyak jual daripada beli. Indeks komposit jatuh daripada 1,543.11 mata pada 3 Januari lalu kepada 1,451.52 semalam.

Di pihak lain pula, langkah naikkan kadar faedah bertujuan redakan inflasi dan galak penabungan. Tapi kadar faedah yang tinggi boleh sebabkan inflasi naik lagi-lagilah apabila nilai ringgit jatuh. Kemerosatan nilai ringgit secara automatik sebabkan inflasi import naik.

Pastilah apabila kadar faedah naik, kos pinjaman pun naik juga. Maybank dah pun umum kadar asas pinjaman (BLR) naik daripada 5.90 peratus kepada 6.15 peratus. Bank-bank lain pun sama. Ini tentulah akan bebankan peminjam, tidak kiralah sama ada untuk beli rumah, berniaga, beli saham amanah atau belajar. Apatah lagi dalam suasana pasaran saham yang lesu dan pulangan saham amanah yang semakin menurun.

Pendek kata, apa yang Tengku Zafrul cakap pasal ekonomi dan kewangan negara semakin berbau politik sejak mula cergas dalam Umno dan dilantik Bendahari Barisan Nasional Selangor. Jangan-jangan dia pun berangan-angan jadi Perdana Menteri!

Wallahuaklam.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan