Oleh Alang Ibn Shukrimun
Susulan kunjungan Trump mengadap Raja Salman dan pemimpin-pemimpin dunia Islam:
1. HUBUNGAN BAIK SAUDI-AMERIKA
Tidak menjadi perkara pelik dengan kunjungan Trump ke Riyadh. Sejak
Arab Saudi ditubuhkan, Amerika (Zionis) adalah rakan paling karib
mereka. Kalau bukan kerana hegemoni barat, tak mungkin Arab Saudi
tertubuh.
Penubuhan Arab Saudi bertitik tolak dari rancangan
Zionis untuk menjatuhkan khilafah Uthmaniah. Setelah pengasasnya
Theoderl Herzl gagal memujuk penguasa Uthmaniah Sultan Abdul Hamid
menyerahkan Palestin kepada Yahudi, mereka telah mendoktrin gabenor
Hijaz, Syarif Husain supaya memberontak menentang Uthmaniah dengan api
nasionalisme. Dakyah zionis, arab Quraisy kononnya lebih layak menjadi
khalifah berbanding keturunan turki.
Setelah Uthmaniah lumpuh 1916,
mereka minta Syarif Husain menyerahkan Palestin tetapi beliau enggan.
Lalu dihasut pula penyangak jalanan keturunan badwi Al Saud dari Riyadh
untuk menakluk jajahan Hijaz. Mereka dibantu oleh persenjataan barat,
ditambah perisa wahabi-sufi untuk mengislamikkan kempen. Bayarannya
adalah Baitul Maqdis perlu diserahkan kepada Yahudi.
Lalu
berlakulah apa yang berlaku. Yahudi berhasil merampas peta Palestin,
manakala keluarga Saud berjaya menakluk Hijaz, Najd di samping Riyadh
dan kawasan sekitar untuk menubuhkan kerajaan arab keluarga saud, Arab
Saudi. Wilayah-wilayah teluk yang kecil dibahagikan kepada
kabilah-kabilah sokongan membentuk UAE, Qatar, Kuwait dan sekitar.
Tanah-tanah ini menjadi lembu susu yang dibela untuk diperah hasil
mahsul mengalir ke barat jua.
Perjanjian itu masih lagi kekal ke
hari ini. Setiap penguasa Saudi dan proksi Yahudi iaitu Amerika wajib
meneruskan hegemoni ini. Tidak ada seorangpun yang boleh keluar dari
sistem yang telah diatur baik ini.
2. POLITIK KELUARGA SAUD
Barat bijak mengatur langkah agar tidak berlaku sebarang perkara yang
tidak diingini daripada sekutu baik mereka. Tidak cukup sekadar
memegang kepala raja, kaum kerabatnya turut dijadikan alat.
Mana-mana
raja yang tidak mendengar kata, kaum kerabat yang telah dipegang ini
yang akan bertindak secara dalaman untuk memastikan mereka terikat.
Mereka akan pastikan kaki-kaki mereka berada di posisi yang sepatutnya
untuk memainkan peranan yang sepatutnya. Pengarah risikan, duta ke
Amerika, Menteri Luar dan para kapitalis adalah kedudukan-kedudukan
utama yang menjadi pengawal Amerika terhadap Saudi. Mereka boleh
bertindak daripada mengugut, campur tangan hinggalah ke peringkat
membunuh. Raja Faisal pernah cuha keluar dari sistem ini, malangnya
beliau mati dibunuh.
Raja Salman di awal pemerintahannya
menunjukkan kesungguhan untuk membawa perubahan dalam budaya keluarga
Saud, dan juga politik Arab Saudi. Malangnya dengan usia yang berbaki
dan kudrat yang dimiliki, misi itu gagal. Kini beliau sudah jadi
sebahagian daripada sistem.
Ramai berbangga Mekah Madinah
semakin maju. Pembangunan pesat sekeliling tanah haram. Namun sedarkah
kita, Menara tertinggi iaitu Hotel Hilton betul-betul dihadapan
Masjidil Haram adalah simbolik umat Islam telah berjaya ditawan Zionis.
Hasil binaan Uthmaniah yang hampir hilang di sana juga adalah simbolik
tiada lagi kuasa umat Islam.
3. TRUMP TUKAR ARAH
Trump
di masa kempen memilih pendekatan yang kontradik daripada mana-mana
naratif calon Presiden lain. Beliau membawa agenda isolation dan tidak
mahu menghabiskan khazanah Amerika untuk agenda geopolitik. Sebaliknya
beliau mahu memfokuskan pemulihan taraf ekonomi dan sosial rakyat.
Makes America Great Again, katanya.
Kempennya juga keras dengan
Islam. Agresif menyokong perjuangan Israel. Menganggap Islam punca
segala keganasan dan huru-hara dunia.
Namun setelah menjadi
Presiden, beliau seolah baru sedar hakikat sebenar dunia politik,
khususnya politik Amerika dan pengaruh Zionis. Perjumpaan pertama beliau
dengan Obama telah menampakkan reaksi terkejut dan cuaknya. Untuk
tidak mengulang nasib John F Kennedy, Trump terpaksa menjilat semula
ludahnya.
Sangat takut Trump dengan orang belakang tabir. Amalan
biasa Presiden Amerika yang baharu adalah berjumpa dengan jiran dahulu,
seperti Canada atau Mexico. Tetapi ini sampai ke Riyadh, dan sampai ke
tempat Dinding Meratap Israel. Trump juga berjaya diguna-gunakan
dengan mudah.
Beliau sanggup tarik balik polisi ketat terhadap
umat Islam di Amerika, semata-mata untuk menghadap Raja Salman.
Menerima kalung emas dan habuan paling besar dalam sejarah, si anak
pula didermakan 100 juta begitu mudah, maka selamatlah Trump sebagai
batu bata projek mega Zionis.
4. SERANGAN KE ATAS IRAN
Jangkaan bahawa Iran bakal diserang sudah sampai ke tahap Ilmu yakin,
bukan zhon lagi. Tiba-tiba sahaja Iran dikaitkan dengan IS walaupun
yang banyak kaitan dengan IS dan al-Qaeda sebenarnya Saudi. Pemimpin
Arab semakin rancak mengecam Iran tiba-tiba. Al-Sisi yang didokong
Azhari pembenci Wahabi dengan mudah bermesra-mesraan dengan pemerintah
Saudi. Urusniaga senjata terbesar dalam sejarah dunia dibuat mengatasi
rekod urusniaga senjata sepanjang zaman.
Kenapa Iran? Kerana
itulah ancaman paling bahaya kepada globalisasi. Selagi Iran ada,
selagi itu Israel tidak selamat. Jika dibiarkan, umat Islam bakal
menyedari siapa sebenar kawan dan siapa lawan. Makin lama ditangguh,
makin bertambah pengaruh dan kekuatan mereka.
Sebaik proksi
Amerika yang menganut syiah, Reza Pahlavi berjaya diguling dalam
revolusi Iran 1979, barat pantas mengumpulkan kekuatan Arab untuk
mengekang kebangkitan Ayatullah yang juga syiah. Iraq menjadi pemuka
hadapan kempen perang teluk, didokong oleh semua negara arab kecuali
Syria di bawah Hafez Asad, walaupun beliau dan Saddam dari parti
sosialis Baath yang sama.
Kempen itu gagal. Iran gagal
dilumpuhkan. Tapi Iraq pula menanggunf kerugian dan hutang berganda.
Saddam yang tertekan menawan Kuwait, mengakibatkan tindakan balas NATO
arab sehingga Iraq kembali berundur. Begitupah seterusnya misi
pencerobohan tentera Amerika. Habis madu, sepah dibuang.
Bermula
Afghanistan, kemudian Iraq, dicetuskan pula Arab Spring melanda
Tunisia, Libya, Mesir, Yaman dan paling teruk Syria, Islam tidak diberi
peluang untuk bangkit sekali-kali. Alat menjayakan pelan ini adalah
umat Islam yang gopoh lagi jahil. Apabila negara-negara ini telah
lumpuh, mudahlah laluan mereka untuk membantai Iran.
5. SEKTARIAN TERUS MENJADI ALAT
Mudah sekali untuk mengajak dunia Islam mendokong perang ke atas Iran.
Guna sahaja terma jihad sunni melawan syiah. Tentu semua akan bangkit
penuh jiwa raga. Waktu itu Israel bukan lagi ancaman Islam. Amerika
langsung tidak zalim. Boleh dibuat kawan yang ikhlas memerangi syiah.
Kuasa barat menyebelahi Sunni. Kuasa Timur pula mempertahan Syiah. Barat menjolok Wahhabi. Timur pula mendokong Sufi.
Percayalah ia tidak akan terhenti di situ. Jika kempen Sunni Syiah
berjaya, kempen Wahabi Sufi pula dimainkan. Sehinggalah tercapai agenda
pemetaan baru, dan peta Israel Raya wujud di atas timbunan darah umat
Islam yang tidak tahu mengapa mereka membunuh dan mengapa mereka
dibunuh.
Walaupun umat ini pernah menyaksikan keberkesanan racun
sektarian dalam meruntuhkan khilafah Uthmaniah, tetapi kejahilan masih
tebal dek tersilap memahami manhaj ilmu yang sebenar. Racun ini akan
terus diguna dan diguna, tanpa perlu menukar label dan tarikh luput
sekalipun.
6. SASARAN SETERUSNYA
Berdasarkan beberapa
hadis akhir zaman, mungkin Iran berusaha memohon sokongan dari negara
umat Islam. Namun zionis terlebih dahulu telah membeli pemimpin Islam
melalui saudagar-saudagar arab mereka. Bukankah NATO arab sudah
terbentuk? Permohonan Iran tidak akan dihiraukan, dan mereka terpaksa
bergantung harap dengan kuffar lain yang punya ihsan, atau punya
kepentingan.
Sasaran sebenar bukan Iran, tetapi Palestin. Tanpa
Iran, gerakan jihad di sana ibarat patah kaki.
Mungkin akan bermula di
Lubnan dahulu menentang Hizbullah. Sungguh pertukaran Khaled Mesyaal
kepada Ismael Haniyyeh amat-amat menggusarkan barat.
Berdasarkan
Hadis juga, dalam kalut berperang di Iran, bakal berlaku krisis kerabat
Saud. Mungkin mereka akan berperang sesama sendiri, merebut takhta dan
ghanimah. Negara sekitar turut sama bertelagah. Kerana Sungai Tigris
sudah semakin surut. Zionis cuma bertepuk tangan sambil mencicip
pop-corn. Kelak mereka pula akan pegang kunci tanah haram.
Susulan dari Hadis juga, mungkin Iran bakal dibelasah teruk. Peluang
segera diambil untuk menghapuskan terus Hizbullah seterusnya pejuang
Palestin.
Namun mereka tidak akan mampu melawan kuasa Allah.
Mereka tidak sedar tindakan itu akan menggali kubur sendiri. Mereka
bakal hilang punca. Masadepan semakin hampir untuk pembebasan al-Quds.
Waktu Imam Mahdi dan para Anbiya bersolat di sana sudah terlalu dekat.
7. BERPIHAK ATAU BERKECUALI?
Soalan yang perlu dijawab, siapa perlu kita bersama dan siapa perlu kita sokong?
Atau apakah tuntas untuk menjadi pemerhati dari jauh?
Sunnah yang diajar baginda Nabi SAW tidak pernah begitu. Dalam
pertembungan antara Rom dan Parsi, baginda memihak kepada Rom. Bukan
memberi wala' atau bergabung, kerana selepas itu Rom pula yang
diperangi. Reaksi baginda sekadar mengharapkan mereka menang ke atas
Parsi.
Ulama menjustifikasikan tindakan baginda itu kerana Rom
adalah ahli kitab yang turut bertuhankan Allah, sedang Parsi penganut
Majusi yang syirik. Persamaan yang dikongsi bakal melicinkan langkah
kehadapan. Selain itu, bangsa Rom memiliki jatidiri yang lebih bagus
berbanding bangsa Parsi.
Lalu siapa Rom yang perlu disokong dan
siapa Parsi hari ini? Hakikatnya Rom dan Parsi sudah tidak lagi sama
hari ini. Rom yang baginda sokong adalah Roman Byzantine, penganut
Kristian Ortodok yang kini kembali berpengaruh di Rusia. Sedang Rom di
barat adalah pewaris Roman Katolik, yang sudah berpecah belah dan
berevolusi, kini dikuasai Protestan, kemudian Evangelis dan Anglican.
Parsi pula adalah sebuah bangsa di Iran, Iraq, dan negara-negara
Khurasan di Asia Tengah. Kini penganut Majusi boleh dibilang dengan
jari. Yang dominan adalah muslim sunni dan syiah, juga terdapat Yahudi
dan agama kecil lain. Ramai juga atheis dan masih komunis.
Bukan
pewaris bangsa Rom atau Parsi yang perlu dipilih, tetapi kriteria yang
baginda Nabi guna. Diantara dua pihak, siapakah yang lebih baik
jatidirinya, dan siapa yang lebih dekat dengan Islam ataupun lebih kecil
mudaratnya terhadap Islam.
Patutkah orang Islam berkecuali,
sedang Nabi sendiri berpihak? Maka pilihlah pihak dan kumpulan yang
tepat. Jadikanlah al-Quran dan Hadis sebagai kacamata, kerana ia
sebaik-baik petunjuk.
Selamat menghadapi akhir zaman yang sangat menguji iman dan taqwa. Bekalkan diri dengan kelengkapan yabg sepatutnya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan