Wanita dan kecantikan sudah begitu sinonim. Tidak dapat dinafikan setiap orang suka melihat yang cantik.

Justeru, ada yang mengambil jalan mudah dengan melakukan rawatan di spa atau butik kecantikan.
Hakikatnya, rawatan kecantikan lebih selamat jika dilakukan oleh doktor yang bertauliah di klinik dan hospital.

Setiap orang sepatutnya menyedari risiko yang akan dihadapi. Paling penting, ketahui akan rawatan yang hendak dilakukan dan cari maklumat mengenai rawatan tersebut.

Bercakap mengenai rawatan-rawatan kecantikan, masalah dan mitos mengenai kecantikan, Perunding Dermatologis, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Mazlin Mohd. Baseri berkata, antara yang paling popular ialah rawatan menggunakan kaedah suntikan botoks bagi menggebu dan menegangkan semula wajah.

Bagaimanapun kata Dr. Mazlin, botoks sebenarnya adalah rawatan bagi mengurangkan kedutan dengan melumpuhkan otot pada wajah dan bukan tujuan menegangkan.

Menurutnya, rawatan botoks atau nama saintifiknya toksin botulinum, biasanya digunakan bagi merawat masalah saraf.

Suntikan botoks ini melembutkan kekejangan otot selepas serangan angin ahmar atau strok, selain bagi mereka yang mengalami masalah mata berkenyit.

“Suntikan akan diberikan pada bahagian yang hendak dirawat bagi melumpuhkan otot. Jika disuntik pada mata yang berkenyit, mata pesakit sudah tidak akan berkenyit lagi. Suntikan yang salah pada muka boleh menyebabkan muka atau apa-apa bahagian muka menjadi senget.

“Bagi pesakit strok, suntikan yang dibuat pertama kali akan diulang semula dalam masa enam bulan hingga satu tahun.

“Botoks adalah sejenis toksin dan berbahaya jika tidak betul cara suntikannya kerana dikhuatiri boleh masuk ke dalam saluran darah dan menyebabkan pesakit lumpuh.

“Jika hendak mendapatkan suntikan botoks, pastikan berjumpa dengan doktor yang bertauliah. 
Masalahnya, ada orang yang oleh kerana hendak menjimatkan kos, berjumpa dengan mereka yang tidak berkelayakan melakukan suntikan dan besar kemungkinan menimbulkan masalah.

“Satu lagi rawatan kecantikan yang biasa diambil oleh wanita atau lelaki ialah filler, iaitu bahan yang disuntik di bawah kulit muka bagi menegang dan mengisi bahagian wajah yang berlubang.

“Apabila seseorang itu semakin berusia, lemak di bawah kulit berubah dan terdapat bahagian wajah yang nampak berlubang. Contohnya, pada bawah pipi di sebelah bibir. Kekosongan inilah yang akan diisi dengan suntikan filler.

“Filler memang bertujuan untuk kecantikan iaitu mengisi bahagian yang sudah mula melekuk dan boleh menjadikan bibir lebih mungil. Kesannya dapat dilihat serta-merta dan kaedah ini sudah berdekad-dekad digunakan dalam industri estetika,” kata Dr. Mazlin.

Dia menambah, jika dahulu orang menggunakan kolagen manusia atau lembu untuk disuntik sebagai filler, tetapi sekarang mereka menggunakan asid hyaluronic.

Prosedur suntikan filler yang terkini dan lebih canggih ialah dengan menyuntik lemak sendiri di bawah kulit.

Filler lemak disebut sebagai onto logous fat transfer, yang mana pesakit harus melalui proses sedut lemak.

Dr. Mazlin berkata, Kelebihan menggunakan lemak sendiri ialah tiada alahan, mempunyai faktor menggalakkan pertumbuhan dan tahan lama.

“Bagaimanapun, kos suntikan ini menelan ribuan ringgit dan hanya boleh dilakukan oleh pakar bedah dan ahli dermatologi.

“Harus dipastikan filler boleh masuk terus ke dalam saluran darah. Jika tersalah suntik, boleh menyebabkan buta, saluran darah tersumbat, kulit menjadi hitam, alahan dan jangkitan kuman,” katanya.

INFO

Botoks adalah prosedur kosmetik bukan pembedahan, namun tidak sepenuhnya ia selamat. Berikut sisi negatif suntikan botoks seperti yang dipetik daripada Vemale.

* Menimbulkan alahan

sesetengah orang menunjukkan reaksi alahan ketika proses suntik botoks seperti gatal-gatal, asma, kemerahan, pening dan sebagainya.

* Bengkak pada kulit

Salah satu reaksi negatif botoks bengkak pada kulit, terutama jenis kulit sensitif

* Mata kuyu

Kelopak mata biasanya jatuh dan membuat mata jadi kuyu setelah disuntik botoks. Hal ini terutama pada mereka yang menyuntik botoks di bahagian dahi, alis, dan sekitar mata.

* Kerap buang air kecil

Botox membuat saluran air kencing menjadi lebih aktif, sehingga seringkali terasa mahu buang air kecil.

* selesema

Setelah menyuntik botoks, ada sebahagian orang yang mengalami gejala selesema, demam, sakit kepala, badan sakit dan sebagainya

* Jangkitan saluran pernafasan

Sekalipun jarang terjadi, sukar bernafas dan teras sesak adalah salah satu efek sampingan suntikan botoks yang pernah dialami sesetengah orang.

Bahaya bahan pemutih kulit

Satu lagi rawatan kecantikan yang menjadi kegilaan, jelas Dr. Mazlin ialah memutihkan kulit. Kegilaan untuk memutihkan kulit sudah lama berlaku di dalam masyarakat kita.

Namun, apa yang dikesalkan ialah masyarakat tidak menyedari masalah yang akan timbul kemudian disebabkan memutihkan kulit.

Bahan pemutih kulit katanya, mengandungi banyak bahan kimia seperti hidrokuinon, tretinoin, asid kojik, arbutin dan merkuri yang sangat berbahaya.

Merkuri boleh meracuni saraf, manakala tretinoin pula boleh mencacatkan bayi dalam kandungan, yang sepatutnya tidak dijual dengan meluas.

Hidrokuinon berkesan tetapi tidak boleh digunakan dalam jangka masa lama kerana boleh menjadikan kulit nampak kusam, seperti terbakar. Lama kelamaan kulit akan menjadi gelap.

“Di Malaysia, hidrokuinon merupakan bahan kimia yang dikawal dan hanya boleh digunakan tidak melebihi empat peratus. Lebih tinggi peratusan penggunaannya, lagi banyak kesan sampingan yang akan dialami.

“Kita tidak boleh mengubah orang yang hendak mendapatkan kulit putih, namun perlu difahami kulit putih tidak kekal kerana kulit asal akan muncul semula.

“Orang ramai harus mendapatkan maklumat mengenai produk yang mereka gunakan. Ketahui bahan-bahan yang digunakan, adakah selamat atau tidak.

“Kementerian Kesihatan juga sudah mengambil langkah untuk mengawal produk-produk yang membahayakan kesihatan,” ujar Dr. Mazlin.