Oren di tengah hijau Kota Bharu


Oleh Faisal Tehrani

Saya berpendapat pemenang yang agak bergaya dalam PRN 2023 lalu adalah Amanah. Meskipun dihujahkan Amanah banyak kehilangan kerusi dipertandingkan di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, serta kalah teruk di Terengganu; sayugia diingatkan yang Amanah melakukan sesuatu tidak dijangkakan iaitu menakluk DUN Kota Lama di Kota Bharu, Kelantan. Ini adalah sejarah besar 12 Ogos 2023 di Kelantan.

Hakikat bahawa kemenangan Amanah di Dun Kota Lama itu sangat penting ialah kerana PAS sendiri sudah menyatakan rasa dukacita yang amat mendalam ekoran terlepasnya kerusi DUN Kota Lama ke tangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Ahmad Yakob, PAS tidak menyangka kerusi DUN Kota Lama itu boleh ditakluk oleh PH di tengah-tengah megah dan pongahnya gelombang hijau PAS melanda Kedah, dan sebahagian Selangor. Harus dinyatakan di sini juga PAS menyasarkan kemenangan 45 kerusi DUN Kelantan tetapi terlucut dua kerusi, satu ke tangan Barisan Nasional (BN) dan satu lagi kepada Amanah.

Sekiranya kita memahami politik Kelantan, kita akan mendapati kemenangan seorang wanita bernama Dr Hafidzah Mustakim, dengan undian 9,695, menewaskan calon PAS, Zamri Ismail dengan 9,489 undi iaitu bermajoriti 206 itu merupakan satu panji yang amat signifikan. Di dalam kamus politik Kelantan, parti seperti Amanah yang progresif, menekankan maqasid, lagi sederhana sikapnya amat sukar diterima. PAS berdiri di sebalik janji-janji produk “political Islam” seperti hukum hudud. Sedangkan Amanah mengimani Islam seharusnya untuk semesta alam.

Harus dinyatakan yang rakyat Kelantan tidak mengenal selain PAS dalam kehidupan berpolitik mereka. Kelantan dikuasai oleh PAS sejak pilihan raya umum pertama iaitu pada 1959 sehinggalah ke tahun 1978. Umno hanya berpeluang menguasai negeri tersebut dengan cara kotor dan sekali lagi terlepas ke tangan PAS pada 1990 sehingga sekarang.

Makanya kejayaan memacak bendera selain PAS di tengah Kota Bharu oleh seorang wanita, berlatar belakangnya perubatan dari parti Amanah tentulah sangat mendebarkan. Tambahan pula ia dilakukan ketika PAS Kelantan sedang menggelora.

Dalam sejarah politik Kelantan, PAS hanya akan lemah dan hancur dek persaingan dalaman. Pada 1977 misalnya kepimpinan politik negeri tersebut mengalami krisis sengit antara dua kem iaitu kem Mohd Asri Muda dan kem Mohamad Nasir. Pertelingkahan antara dua kem dalam PAS ini ialah untuk merebut kekayaan negeri. Kem Mohamad Nasir telah membuat pendedahan mengejutkan apabila menyenaraikan nama-nama pimpinan PAS Kelantan yang beroleh untung duniawi daripada pemberian konsesi tanah, perlombongan dan kayu balak ala Duff kepada beberapa syarikat Cina yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan Singapura.

Sebagai contoh syarikat Timber Mines Development Corporation Limited telah diberikan konsesi tanah hutan seluas 400 ribu ekar selama 46 tahun. Fakta sejarah ini didokumentasikan oleh kajian Mustafa Ahmad dan Nur Azuki Yusuff berjudul “Keunikan Politik Kelantan dan Perebutan Kuasa Umno-PAS Dalam Lipatan Sejarah” termuat dalam buku “PAS Menjelang Pilihan Raya Umum” terbitan Penerbit Universiti Malaysia Kelantan (2020).

Pendedahan berani Mohamad Nasir mengenai nafsu pimpinan PAS itu menyebabkan kemarahan 20 Adun Kelantan yang mengusulkan undi tidak percaya terhadap menteri besar Kelantan iaitu Mohamad Nasir ketika itu. Usul tersebut kemudiannya menyebabkan berlaku rusuhan dan demonstrasi yang disertai oleh 80,000 orang pada 24 September 1977. Untuk memulihkan semula keamanan, Perdana Menteri Hussein Onn ketika itu terpaksa mengisytiharkan darurat. Demikianlah rakusnya persaingan dalaman PAS sehingga menyebabkan parti itu kehilangan hampir semua kerusi Kelantan pada PRU 1978.

Bagaimanapun, kepimpinan Umno dan Berjasa yang mengambil alih tampuk pemerintahan dapat dikatakan tidak berwibawa dan gagal menginspirasikan. Menteri Besar Mohamad Yaacob tatkala itu dilihat lemah dan dibayangi oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Ekoran itu PAS kembali menakluk Kelantan dengan menunggang masalah politik di peringkat persekutuan iaitu pertelagahan dahsyat Umno yang terjadi antara Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh. Untuk menawan Kelantan, PAS menunggang Semangat 46, Berjasa, Hamim dan Kimma dengan nama Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990.

Kepimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat memperkenalkan dasar-dasar Islam secara besar-besaran dan menjadikan Yayasan Islam Kelantan yang turun ke sekolah-sekolah sebagai benteng besar untuk menurunkan ketaasuban menebal terhadap parti ini. “Ketokohan” Nik Aziz menenggelamkan ketandusan pembangunan dan kemajuan Kelantan sehingga moto “Membangun Bersama Islam” menjadi mitos siasah paling berjaya dalam sejarah politik Islam moden. PAS tanpa kekok dan janggal memperkenalkan dasar-dasar Islam yang rigid sejak itu, sehingga mengekang kebudayaan dan kesenian yang dianggap melalaikan. Gerakan pendidikan yang berkesan di masjid dan sekolah agama menjadikan rakyat Kelantan yang sedia totok PAS itu tidak lagi dapat digoncang, malah PAS kian berhasrat untuk menggoncang pula negeri-negeri lain.

Namun demikian kematian Nik Aziz pada 2015 dan perpecahan kem progresif dan ortodoks PAS menyaksikan kemunculan parti Amanah pada 2016. PAS dapat dihujahkan amat rimas dengan Amanah. Pada PRU14, PAS melakukan serangan yang keras terhadap Amanah berbanding Umno yang dianggap sebagai musuh yang lemah. Dalam PRU14 itu bukan sahaja Amanah kalah, malah satu-satunya kawasan Parlimen di Kelantan yang boleh menerima Amanah adalah Kubang Kerian dengan jumlah undi untuk parti ini hanyalah 11,557 manakala Tumpat memberikan 10,003 undi untuk Amanah.

Sikap PAS terhadap Amanah di peringkat persekutuan juga amat buruk. Segelintir pimpinan PAS melayani Amanah seperti serpihan golongan munafikin. Presiden PAS sebagai misalan menyatakan PH termasuk Amanah sebagai “tidak beriman (beraqidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah”. Abdul Hadi Awang juga memanggil Amanah sebagai khadam DAP. “Kita tidak menganggap (Amanah) sebagai satu saingan yang mencabar pada pilihan raya ini. Khususnya apabila rakyat, terutama yang beragama Islam (dan) kaum Bumiputera, menyedari bahawa Amanah merupakan khadam kepada DAP”.

Kebencian pimpinan PAS Kelantan terhadap Amanah juga meluap-luap. Malah ketika PRU14, bekas timbalan menteri besar Kelantan yang kini berjaya disingkirkan, Mohd Amar Nik Abdullah telah memanggil Amanah sebagai “…hanya perkakas DAP”. Bukan itu sahaja Amar turut menyifatkan Amanah sebagai nanar; “Parti oren ini bagi saya parti nanar. Orang Kelantan kata nanar ini bengong. Politik dia politik nanar”. Beliau seterusnya mengatakan warna logo Amanah sesuai dengan warna pakaian tok sami, manakala lambangnya pula menyerupai sebuah stesen TV di India, Imayam TV.

Harus dinyatakan selepas keluarnya kelompok sederhana daripada PAS, parti PAS dikuasai oleh golongan agamawan yang totok, jumud, patriarki dan tidak hendakkan perdamaian. Golongan profesional PAS satu masa dahulu kinilah yang membentuk parti Amanah. Hal ini terserlah pada satu batang tubuh di Kelantan iaitu Hafidzah Mustakim, seorang doktor perubatan. Beliau akan berdepan seorang dengan PAS di DUN. Ia memerlukan keberanian yang luar biasa.

Meskipun hanya menang tipis, terpaksa berdepan dengan pemulauan dan juga tuduhan sebagai musuh negara, iaitu sebagai juak Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditaja DAP, saya percaya Dr Hafidzah sukar dialahkan. Ini kerana sukar untuk PAS, sebuah parti patriarki untuk berdepan dengan seorang wanita lembut tetapi tegas ini. Sudah tentu, di belakang beliau ada pasukan besar yang akan membentenginya. Meskipun Amanah diluluhlantak di Kedah dan Terengganu, serta cedera parah di Selangor; kehadiran oren atau jingga di tengah hijau Kota Bharu tentulah satu kejayaan paling manis buat parti yang pernah dianggap olok-olokan, khadam Cina, tok sami dan tidak bermoral.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan