Marina kecam pengecut buat kecoh, cuba ancam Dr M

Marina Mahathir menyifatkan kekecohan tercetus pada forum Nothing to Hide 2.0 ialah perbuatan pengecut mahu mengancam nyawa ibu bapanya yang berusia lebih 90 tahun.
“Hanya pengecut yang akan melakukannya.

“Pengecut jenis apakah yang akan mencetuskan kekecohan dan membahayakan satu pasangan berusia 90 tahun?” tulis anak sulung Tun Dr Mahathir Mohamad di Twitternya dengan hashtag #thugsandhooligans (samseng).

Kekecohan tercetus pada forum Nothing to Hide 2.0 sekitar 5.30 petang tadi, kira-kira 2 jam selepas program itu dimulakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam.

Ia berlaku ketika Dr Mahathir menjawab soalan hadirin mengenai tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985, semasa beliau menjadi perdana menteri.

Sekumpulan peserta yang tidak berpuas hati dengan penjelasan beliau tiba-tiba membaling kasut dan disusuli suar, kerusi dan botol air ke arah pentas di mana Dr Mahathir berdiri ketika itu.
Dewan Raja Muda Musa kemudiannya dipenuhi asap dan insiden tumbuk-menumbuk dikatakan berlaku ketika ahli PPBM meluru ke pentas untuk melindungi bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu. Dr Mahathir tidak cedera.
 
Suasana itu mencetuskan panik di kalangan pemimpin dan peserta forum itu, menyebabkan mereka cuba menyelamatkan diri dan berlaku pergelutan di kalangan penyokong Dr Mahathir dan peserta yang tidak berpuas hati.

Sementara itu, bekas menteri Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin menyuarakan kebimbangan jika pilihan raya umum ke-14 (PRU14) boleh diadakan secara aman ekoran kekecohan yang tercetus pada forum anjuran Pemuda PPBM petang ini.

“Kali ini, kekecohan bukan lagi antara kaum berbeza, tetapi ia berlaku dalam kalangan kaum sama. Melayu dengan Melayu,” katanya

Beliau berkata, ada 2 kemungkinan yang timbul iaitu Umno akan dipersalahkan dan mungkin ada pihak yang sengaja mensabotaj untuk memburukkan Umno.

“Bila perkara begini berlaku, tidak boleh dinafikan pihak yang akan disalahkan adalah Umno. Tetapi, kita juga tidak boleh nafi yang mungkin ini adalah sabotage untuk memburukkan Umno.”
Bekas menteri penerangan itu berkata, keselamatan Dr Mahathir menjadi keutamaan sekarang kerana beliau bukan lagi perdana menteri.

“Walaupun beliau mempunyai seangkatan penyokong, tetapi keselamatan ketika beliau menjadi perdana menteri berbeza dengan sekarang.

“Tetapi, kebimbangan utama saya ialah PRU14 akan datang kerana jika perkara begini boleh berlaku sekarang, ia tidak menolak kemungkinan ia boleh berlaku pada pilihan raya nanti.”
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan