Institusi Islam Pulau Pinang Akan DIbantu Dan Dipantau

Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK Agama)  pada 18 September mengambil ketetapan tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja mengabaikan aspek keselamatan maahad tahfiz sehingga boleh mencetuskan tragedi meragut nyawa para pelajar dan guru-guru.

Ia selaras dengan keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan    Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pusat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan mesyuaratnya semalam, 19 September.

Keputusan MMK (Agama) itu, saya telah bentangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang telah diadakan hari ini. Kerajaan Negeri akan memantau dengan lebih dekat aspek keselamatan institusi tahfiz bagi membantu perkembangannya di negeri ini.

Pada petang ini, saya akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak berkaitan, bagi membincangkan langkah dan tindakan sewajarnya untuk membantu meningkatkan aspek keselamatan di Maahad Tahfiz berdaftar yang berjumlah 47 buah dan kira-kira 20 buah lagi tidak berdaftar.

Pada 8 dan 9 Ogos lalu, Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dengan kerjasama Jabatan Bomba telahpun mengadakan taklimat keselamatan, kebakaran dan kesihatan kepada Maahad Tahfiz di negeri ini.
Program yang diadakan di Balai Bomba Perai itu, hanya dihadiri 25 buah Maahad Tahfiz daripada 50 buah yang dijemput.

Sementara, pada 13-14 September lalu, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan program yang sama di Alor Setar pada peringkat Zon Utara yang turut melibatkan Maahad Tahfiz negeri ini. Daripada 36 buah Maahad Tahfiz Pulau Pinang yang dijemput, hanya dihadiri oleh 18 buah sahaja.
Dalam pada itu, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi membantu menyuburkan perkembangan Maahad Tahfiz negeri ini, termasuk cadangan meminda Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). 

 Terdapat keperluan bagi menambah baik akta tersebut dari aspek pendaftaran dan penguatkuasaan ke atas institusi pendidikan Islam termasuk maahad tahfiz.
Kerajaan Negeri akan terus berusaha merealisasikan hasratnya, untuk membina generasi Al-Quran melalui konsep “Sebuah Keluarga Seorang Hufaz .” 

Ijtimak hufaz dan anugerah kepada para hufaz, selain sumbangan kewangan kepada institusi Islam termasuk maahad tahfiz, yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak tahun 2008 akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memastikan institusi Islam di negeri ini akan terus dimartabatkan ke arah kecemerlangan.   

YB Dato' Abdul Malik Kassim,
Exco Hal Ehwal Agama P.Pinang.
20 Sept. 2017
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan