Jika Rang Undang-Undang anti berita palsu
(Akta antiBerita Tidak Benar 2018) diluluskan parlimen dan
dikuatkuasakan oleh pemerintahan Najib Razak, kita semua boleh dikenakan
hukuman yang sangat berat sekiranya anda memanggil seseorang itu dengan
gelaran haiwan atau apa sahaja kerana pernyataan tersebut adalah sama
sekali tidak benar.
Menteri seperti Nazri Aziz pun boleh
dikenakan hukuman penjara sekiranya dia terus memanggil MCA dengan
pelbagai gelaran kesat dalam wawancaranya kepada media.
Satira dan komedi bakal menjadi sejarah
apabila RUU ini menjadi undang-undang kerana bahan jenaka hampir sahaja
pasti berbentuk palsu dan direka-reka.
Menggelar seseorang sebagai bodoh
contohnya, dalam apa juga bentuk perkataan pun boleh menjadi jenayah
kerana orang yang digelar mungkin mempunyai ijazah daripada universiti
terkemuka.
Di zaman RUU berita palsu ini, adalah lebih
baik bagi rakyat Malaysia yang mempunyai pendapat peribadi tetapi tidak
ada wang atau tidak mahu dipenjara, supaya mengakhiri kenyataan mereka
dengan tanda soal. Pastinya bertanya soalan tidak dikira sebagai
kenyataan palsu, kan?
Sebenarnya terdapat banyak kejanggalan
dalam draf RUU ini, yang membuatkan kita sangat terganggu. Yang paling
utama ialah ambiguiti dalam tafsiran berita palsu itu sendiri.
RUU 15 mukasurat ini langsung tidak
memberitahu kita siapakah yang mempunyai kuasa untuk menentukan
kepalsuan sesuatu pernyataan atau laporan berita atau tulisan.
Contohnya jika Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak, memohon perintah mahkamah (seperti yang diperuntukkan oleh
Akta melalui Seksyen 7[1]) supaya laman web Wall Street Journal (WSJ)
yang berada di luar negara (juga dibolehkan Akta melalui Seksyen 3[1])
untuk menurunkan laporan-laporannya tentang skandal 1MDB, serta mendakwa
pendana-pendana WSJ (juga seperti yang diperuntukkan oleh Akta melalui
Seksyen 5), adakah wujud sebarang proses yang diiktiraf Akta untuk
terlebih dahulu menentukan keabsahan laporan WSJ?
Adakah mahkamah akan terpaksa memeriksa
keterangan-keterangan saksi-saksi seperti Arul Kanda untuk menentukan
terlebih dahulu laporan WSJ itu benar atau palsu? Seksyen 2 nampaknya
sama sekali bisu daripada menentukan siapa atau apa yang mempunyai kuasa
penentu betul-palsu sesuatu kenyataan.
Dan jikalau menteri yang diberi kuasa
mutlak untuk berbuat demikian, meski tidak diperuntukkan oleh Akta,
adakah sebarang peruntukan untuk mencabar keputusan tersebut?
RUU ini nampaknya dibuat secara terlalu
tergesa-gesa sehingga begitu banyak ambiguiti yang menjadikannya
mengarut dan kelihatan cuai dengan lacuna yang begitu besar sekali.
Lebih penting lagi, sekiranya RUU ini
diluluskan, apakah jaminan bahawa penguatkuasaannya akan dilakukan
secara adil dan saksama? Bagaimana kalau kerajaan yang membuat
berita-berita palsu? Bagaimana kalau pembangkang melaporkan
portal-portal berita pro-UMNO yang telah selama ini memfitnah pimpinan
pembangkang?
0 comments:
Catat Ulasan