Mahfuz Omar Dengan Kisah Mamak 'Penjual Rotinya".

Oleh HAYAR HASSAN.

Setelah menunggu begitu lama, akhirnya Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah Darul Aman YB Dato’ Mahfuz Omar mengakhiri juga status Ahli Parlimen Bebas nya. Tanggal 15 Mac 2018 lalu, beliau bersama dengan mantan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakub mengistiharkan menyertai Parti Amanah Nasional@Amanah. Mereka berdua bukanlah ahli biasa PAS. YB Dato’ Mahfuz Omar pernah menyandang jawatan Naib Presiden PAS, Ketua Pemuda PAS, Pesuruhjaya PAS Kedah dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pas untuk beberapa waktu.

Dr Rosli Yaakub pula pernah menjadi Pengarah Urusan Harakah dan pernah menjawat jawatan Penolong Gabenur Bank Negara Malaysia. Pastinya sumbangan mereka kepada suburnya PAS dimata penyokong PAS cukup besar. YB Mahfuz Omar adalah antara penceramah-penceramah utama dalam sebarang program Pakatan Rakyat(PR) atau PAS. Kehadiran Tuan Haji Mohamad Sabu, YB Husam Musa, Saifuddin Nasution, YAB Dato’Seri Azmin Ali dan YB Dato’ Mahfuz Omar dalam ceramah-ceramah amatlah dinanti-nantikan di seluruh pelusok Negara. Program-program ceramah PR umpama pesta pasar malam. Kehadiran penyokong amat hebat sekali, apatah lagi waktu itu kemudahan live streaming masih belum ada.

Begitu lah yang terjadi kepada PAS sekarang, hampir kesemua penceramah serta pemidato hebat mereka telah meninggalkan PAS. Pemidato-pemidato hebat tersebut menyertai Amanah atau pun parti-parti dalam Pakatan Harapan(PH). Kini tenaga penceramah-penceramah PAS adalah ustaz-ustaz yang penuh kontroversi sahaja. Mutakhir ini, adalah jelas sambutan terhadap sebarang program-program PAS sangat mengecewakan dan hambar sekali. Kehadiran orang ramai boleh dibilang dengan jari sahaja. Itu pun hanya dihadiri oleh penyokong tegar dan setia sahaja. Umum berpendapat usaha-usaha PAS mengadakan kempen dan sebarang program adalah sia-sia sahaja. “ Menghabiskan beras saja !”, kata orang muda !

Di Pulau Pinang, aktivis-aktivis PAS yang bergelar ustaz masih berkesempatan memberikan kuliah dan khutbah Jumaat kerana banyak daripada Pengerusi Qaryah masjid-masjid di Pulau Pinang adalah terdiri daripada aktivis-aktivis PAS.

Semasa Pakatan Rakyat(PR) mula menubuhkan Kerajaan Pulau Pinang dahulu, selepas PRU 12, telah wujud persefahaman antara Parti Keadilan Rakyat(PKR) dan PAS bahawa aktivis-aktivis PKR akan menerajui Jawatankuasa Kebajikan Keselamatan Kampong (JKKK) Negeri dan aktivis-aktivis PAS pula akan menerajui Jawatankuasa Qaryah Masjid-Masjid Pulau Pinang.

Perlantikan ahli-ahli JKKK Negeri dibuat secara tahunan oleh Kerajaan Negeri. Oleh yang demikian, pada waktu ini hampir semua ahli-ahli JKKK Negeri adalah aktivis-aktivis PH, sudah tidak ada lagi aktivis-aktivis PAS.

Namun demikian, untuk pentadbiran Qaryah Masjid-Masjid , pemilihan AJK dibuat melalui Mesyuarat Agung Tahunan(Annual General Meeting@AGM) setiap tiga tahun sekali. Pemilihan akan datang hanya lah pada tahun 2019 ! Oleh yang demikian, aktivis-aktivis PAS masih terus dapat menguasai pentadbiran beberapa Qaryah masjid terutamanya di Seberang Perai.

Dalam hal ini, Kerajaan PH Negeri Pulau Pinang mengambil keputusan untuk tidak mencontohi tindakan Kerajaan Barisan Nasional(BN) dahulu dalam soal perlantikan Ahli Jawatankuasa(AJK) Qaryah Masjid-Masjid. Pada masa BN menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang dahulu, AJK Qaryah semua masjid-masjid adalah dilantik kerana mereka juga adalah AJK Cawangan UMNO kawasan-kawasan berkaitan, tiada pemilihan oleh anak-anak qaryah.

Kembali kepada kisah YB Dato’ Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyatakan pada persidangan akhbar@press conference(PC) nya bahawa beliau ingin mencontohi tradisi Mamak Penjual Roti apabila ingin berhenti berjualan. Mamak Penjual Roti apabila ingin pulang ke India akan membawa berkeliling kampong bakal penggantinya yang akan meneruskan bisnes penjualan rotinya.

Itu lah yang akan dilaksanakan oleh YB Dato’ Mahfuz Omar seandai dirinya tidak akan dicalonkan oleh Amanah untuk Parlimen Pokok Sena dalam PRU 14 nanti. Ini adalah gerak kerja dan niat yang baik yang telah ditunjukkan oleh seorang pemimpin yang baik dan berjiwa rakyat. Beliau tidak meletakkan sebarang syarat untuk masok Amanah, hatta rela melepaskan menjadi calon Parlimen PRU walau pun dirinya sekarang adalah penyandang Ahli Parlimen Pokok Sena !

Dalam hal ini, saya berpendapat, tidak ramai ahli-ahli politik yang dapat bertindak seperti beliau. Kebanyakan daripada kita akan berhempas pulas, sampai menggunakan taktik-taktik kotor, menggunakan wang ringgit dan pengaruh untuk terus kekal menjadi calon dalam PRU. Banyak cerita-cerita negatif yang kita dengar menjelang PRU 14 ini, berebut-rebut, lobi melobi untuk menjadi calon !

Keberadaan YB Dato’ Mahfuz Omar dalam Amanah, pada pendapat saya adalah sesuatu yang tepat pada waktunya(timely), khususnya untuk kelangsungan kempen-kempen PH menjelang PRU 14.

Seperti yang kita maklumi, ulasan-ulasan beliau berkaitan isu-isu kepincangan ekonomi, politik dan pentadbiran Kerajaan BN amat bernas dan mudah difahami oleh semua pendengar. Seloka dan sindiran yang beliau lontarkan pastinya akan menarik perhatian semua orang. Yang jelasnya beliau mampu mengawal emosi dan bijak memberikan sebarang komen.

Amanah Negeri Kedah khususnya amat memerlukan kehadiran YB Dato’ Mahfuz Omar, apatah lagi beliau pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah untuk beberapa waktu dan sudah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena selama tiga penggal.

Penyokong dan pendokong PH sedang menunggu-nunggu kehadiran YB Dato’ Mahfuz Omar untuk berceramah sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, YAB Lim Guan Eng, Tuan Haji Sabu, YB Husam Musa, Saifuddin Nasution YAB Dato’ Seri Azmin Ali dan lain-lagi.

Adalah jelas bahawa program Jelajah Menyelamatkan Negara Malaysia ke seluroh Negara Malaysia ini akan menjadi lebih hebat dan menarik kehadiran yang lebih ramai. Dalam hal ini kita amat berharap urusetia PH akan memberi ruang kepada YB Dato’ Mahfuz Omar dalam program-program PH terutamanya untuk kawasan utara Semenanjung Malaysia.

Tahniah sekali lagi kepada YB Dato’ Mahfuz Omar kerana anda telah membuat keputusan yang tepat menyertai Amanah dan masih bersama dengan PH. Anda tidak silap seperti orang lain yang masih tetap mahu menjadi ahli PAS walau pun arah perjuangannya bersimpang siur dan jadi tak ketahuan arah !













Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan