Mat Sabu bimbang RUU berita palsu jadi seperti ISA

Mat Sabu (baju jingga) ditemani Timbalannya, Salahuddin Ayub (kanan) dan Penasihat Amanah, Ahmad Awang (kiri) menghadiri Majlis Pelancaran dan Bicara Buku Parti Amanah Negara yang ditulis Ahmad Lutfi Othman di Ampang, hari ini.

KUALA LUMPUR: Amanah menyifatkan Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar yang dibentangkan di Parlimen semalam, kabur dan lebih memihak kepada parti pemerintah, Barisan Nasional (BN).

Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu bimbang RUU itu akan menjadi seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyasarkan penentang kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberi penerangan mengenai RUU itu kepada rakyat terlebih dahulu sebelum membentangkannya di Dewan Rakyat.

“Kita tidak dapat penjelasan lagi tentang akta berita palsu ini. Kita tengok undang-undangnya terlalu kabur dari segi kuasa dan penjelasannya,” katanya selepas Majlis Pelancaran dan Bicara Buku Parti Amanah Negara dihasilkan Ahmad Lutfi Othman di Ampang, hari ini.

“Apa istilah berita palsu itu? Misalnya isu 1MDB didedahkan di Singapura, Australia, Amerika Syarikat, kalau kita bercakap di sini, adakah itu dikira berita palsu dan kita boleh didakwa?

“Misalnya kita dedahkan apa yang didedahkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), apakah ia termasuk dalam akta berita palsu sebab ia belum disahkan kerajaan (Malaysia), sedangkan berita itu sahih dan benar. Itu yang kita tak faham setakat mana ia punya kuasa, itu yang membimbangkan kita.”

RUU Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mencadangkan pesalah dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 dan penjara 10 tahun.

Jika kesalahan berterusan selepas sabitan terdahulu, denda selanjutnya ialah RM3,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.

Akta itu mentafsirkan berita tidak benar sebagai sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain.

Difahamkan, setakat ini hanya Jerman mempunyai undang-undang seumpama itu yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2018 dan dikenali sebagai Akta Penguatkuasaan Rangkaian (NetzDG) memfokuskan ucapan kebencian dan berita palsu.

Negara lain seperti Singapura dan Filipina sedang membincangkan pengenalan undang-undang berita palsu.

Mat Sabu berkata, RUU itu tidak perlu digubal kerana Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sudah memadai untuk mengekang laporan berita tidak benar.

“Bagi kita, kita dah ada Akta Mesin Cetak, itu sudah cukup dan sudah lebih dari cukup.”
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan