Pas akui saingan sengit untuk kuasai Terengganu


KUALA TERENGGANU – Pas akui akan berlaku persaingan sengit dalam cubaan untuk menguasai Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi Badan Penasihat Parti Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, berdasarkan pemantauan terkini Barisan Nasional (BN) masih kuat walaupun menggunakan ‘’senjata lama’.

Katanya, strategi yang digunakan jentera Umno dalam mendekati masyarakat luar bandar juga masih memberi kesan.

“Di sini (Terengganu) kawasan  luar bandar telah dikuasai oleh Umno dan ada juga Pas… pertarungan sebenar di Terengganu adalah di antara Pas dan BN dan bukanlah Pakatan Harapan,” katanya pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan Pas Terengganu di sini hari ini.

Tambahnya, sama ada BN mahupun Pas kini telah belajar daripada pengalaman pada  pilihan  raya  lepas yang mana ada anggota yang keluar daripada parti masing-masing hingga menyebabkan sasaran menguasai kerusi terjejas.

Ditanya tentang firasat beliau tentang kemenangan di negeri ini pula, beliau berkata ia bagaikan 50-50 berdasarkan keadaan semasa.

Berikutan itu beliau dan jentera Pas telah merancang pelbagai strategi agar mampu menawan Terengganu.

Sementara itu mengulas mengenai tuduhan Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan Pas memberi sokongan dan bekerjasama dengan BN beliau berkata perkara tersebut adalah tidak benar sama sekali dan Pas bukanlah menyokong BN.

Beliau turut menegaskan bahawa PH bukanlah lawan sebenar kepada BN  mahupun Pas di negeri ini kerana yakin PH tidak mempunyai pengaruh yang meluas malah minda masyarakat sekeliling hanya akan  memikirkan untuk mengundi Pas atau BN,

Mengenai jangkaan Pas tentang tarikh mengundi, beliau berkata: “Hampir semua pemimpin politik menjangkakan ia berlaku sebelum Ramadan.”

Mustafa berkata berdasarkan pengalamannya, agak sukar untuk meneka siapa dan parti manakah yang akan menerajui negara selepas PRU14 nanti kerana kepercayaan pengundi boleh berubah dari semasa ke semasa. - Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan