PRU14: Kubang Pasu kerusi paling panas?

Oleh Anne Muhammad

Kubang Pasu dijangka bakal menjadi salah satu kerusi paling panas pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti apabila nama Tun Dr Mahathir Mohamad dicalonkan untuk bertanding di situ.

Walaupun belum dimuktamadkan, bekas perdana menteri itu pernah menjadi anggota parlimen di Kubang Pasu selama 29 tahun sebelum beliau tidak mempertahankannya pada PRU ke-11.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kubang Pasu Mohd Hairy Md Saad memberitahu Malaysiakini nama Dr Mahathir disenarai pendek untuk mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) di kawasan majoriti Melayu itu.

Katanya, lebih menarik, idea yang masih di peringkat cadangan itu dilihat cukup untuk mewujudkan kegelisahan BN sehingga mereka terpaksa membuat laporan polis apabila BERSATU ingin menganjurkan program.

Alasan BN, kata Mohd Hairy, program anjuran HARAPAN memberi ancaman kepada keselamatan penduduk setempat.

Tidak cukup dengan itu Hairy berkata BN juga terpaksa mengundang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semata-mata untuk meyakinkan rakyat Kubang Pasu supaya kekal menyokong Umno.

“Sejak akhir-akhir ini banyak tekanan diberikan pihak BN termasuk tindakan anggota JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) membuat aduan kepada polis bagi mencari alasan untuk menyekat program kami," katanya.

Umno rasa terancam

Sebelum ini kata Mohd Hairy semua aktiviti BERSATU di Kubang Pasu seperti penubuhan cawangan tidak mendapat sekatan daripada JKKK.

"Sekarang dah nak PRU, Umno mula melihat BERSATU kian menjadi ancaman pada mereka.

“Pada saya rasa terancam itu ditunjukkan sehingga Umno perlu membawa presiden mereka turun ke Kubang Pasu," katanya.

Isnin lalu, Najib hadir melawat ke kawasan berkenaan dan sempat memberi pesan kepada penduduk tempatan supaya tidak mempertaruhkan masa depan negara dengan terperangkap dalam nostalgia dan sentimen terhadap pemimpin terdahulu.

Najib berkata, apabila tiba masanya nanti rakyat perlu membuat keputusan bijak dengan memilih parti yang terbukti kukuh dan mampu membawa kemajuan kepada negara.

Parlimen Kubang Pasu merupakan salah satu kubu terkuat Umno. Sejak 1974, hanya ada dua anggota parlimen yang berjaya mengisi kerusi di kawasan itu iaitu Dr Mahathir dan penggantinya, Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Dr Mahathir menjadi anggota parlimen di kawasan itu sejak ia diwujudkan pada 1974 sehingga 2004.
Tempat itu diisi oleh Johari - yang juga bekas setiausaha politik Dr Mahathir - pada PRU ke-11 dan sudah tiga penggal mempertahankan kerusi berkenaan.

Kubang Pasu adalah salah satu kerusi yang disebut-sebut berpotensi ditandingi Dr Mahathir, selain Putrajaya dan Langkawi.

Sementara itu, Hairy berkata walaupun namanya sendiri termasuk salah satu calon bagi Kubang Pasu, dia tetap mengalu-alukan kehadiran Dr Mahathir untuk bertanding di situ.

“Dia seorang yang berpengalaman. Semua orang tahu Dr Mahathir nama besar, dia dah berkhidmat di Kubang Pasu selama 30 tahun.

"Sekiranya Dr Mahathir sudi nak bertanding di sini, kami sangat mengalu-alukan, tak ada bantahan,” katanya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan