Harapan yakin boleh rampas Mersing
MERSING - Pakatan Harapan (Harapan) yakin dapat merobohkan kubu kuat BN di Mersing pada PRU14.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya yakin isu semasa yang dirasai rakyat hari ini menjadi senjata ampuh.
“Kami akui Mersing daripada dulu dianggap sebagai kubu kuat BN, tapi itu tidak menghalang kami daripada terus berusaha meyakinkan rakyat.
“Banyak maklum balas diterima daripada rakyat berhubung GST, dasar kerajaan, kos sara hidup meningkat.
“Jadi itu sebabnya kami merasa apa yang berlaku di peringkat bawah ini sudah cukup memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan, insya-ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian selepas program Bicara Bersama Pemimpin di Endau, baru-baru ini.
Tidak pasti tentang pembahagian kerusi pembangkang di Johor, Mukhriz menegaskan kesemua parti di bawah Harapan akan memenangkan setiap kerusi ditandingi.
“Saya tak pasti di Johor ini sudah atau belum diagihkan kerusi dalam keempat-empat parti.
“Tak kisah siapa yang bertanding di kerusi Dun dan Parlimen asalkan Pakatan Harapan. Kita dalam empat parti ini akan berusaha memenangkan calon tersebut,” katanya.
Mukhriz yang meluangkan masa kira-kira tiga jam bersama masyarakat sekitar Mersing itu juga yakin keputusan PRU14 nanti akan mengejutkan BN.
“Tak kisahlah dua penjuru atau tiga penjuru, tapi kami yakin kali ini akan berlaku satu perubahan yang akan mengejutkan rakan-rakan dari BN dan Umno,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan