RUU berita palsu boleh tamatkan riwayat satira, kata peguam

PETALING JAYA: Seorang peguam berkata Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang penuh kontroversi boleh menamatkan riwayat satira dan parodi.

Syahredzan Johan berkata penerbitan satira seperti FakeMalaysiaNews dan The Tapir Times serta karya pereka grafik politik Fahmi Reza boleh terjejas.

Beliau berkata pihak yang memberi bantuan kewangan kepada mereka yang melakukan kesalahan berita palsu juga boleh didakwa.

“Ada fasal mengenai perkara ini. Ini bermakna mereka yang menyumbang kepada kempen kutipan dana untuk membayar denda atau ganti rugi bagi pelaku juga mungkin dipertanggungjawabkan.
“Terdapat juga kemungkinan ini dikenakan terhadap mereka yang melanggan portal berita seperti Malaysiakini, atau mereka yang meletakkan iklan di portal atau akhbar harian tertentu,” tulisnya di Facebook.

Syahredzan berkata jika akhbar fiksyen “The Cliff” menerbitkan berita mengenai 1MDB, kerajaan boleh mengatakan apa-apa berita mengenai 1MDB yang bukan dari mereka adalah “berita palsu”. The Cliff kemudian boleh didakwa menerbitkan berita palsu.

“Tindakan itu juga boleh dikenakan kepada mereka yang beriklan dengan ‘The Cliff’ kerana memberi bantuan kewangan.”

Ahli Majlis Tertinggi PPBM Tariq Ismail berkata RUU itu pada dasarnya baik dan hukuman menunjukkan bagaimana berita palsu boleh menimbulkan ancaman keselamatan.

“Bagaimanapun, siapa yang menentukan apa sebenarnya berita palsu?”

Beliau berkata jika pihak berkuasa mahu menutup sesuatu dan orang ramai mula bertanyakan soalan dengan dokumen sokongan, undang-undang ini boleh digunakan untuk mendiamkan pengkritik.

Cucu bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu berkata undang-undang itu ironi kerana ia muncul saat kempen pilihan raya bermula dan undang-undang itu mungkin disalahgunakan untuk menakut-nakutkan rakyat.

“Kalau seekor monyet boleh bercakap, ia juga akan mempersoalkan masa dan potensi penyalahgunaan.

“Sekiranya pemerintah mahu memfitnah lawan mereka, kebenaran boleh disorokkan. Berita palsu pula akan menjadi fakta,” kata Tariq.

Ahli Parlimen PKR Kelana Jaya Wong Chen berkata undang-undang fitnah dan libel bawah Kanun Tatacara Jenayah cukup untuk menangani berita palsu.

“Undang-undang berita palsu seperti itu tidak sepatutnya diluluskan oleh kerajaan, yang membuktikan dirinya pengadil yang teruk dalam menentukan apa yang betul dan apa yang palsu, semasa menangani masalah 1MDB,” kata Wong Chen.

RUU Antiberita Tidak Benar 2018, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, mencadangkan pesalah dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 dan penjara 10 tahun.

Jika kesalahan berterusan selepas seseorang disabit bersalah, denda selanjutnya adalah sebanyak RM3,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.

Akta berkenaan mentafsirkan berita tidak benar sebagai sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain.

Setakat ini, difahamkan hanya Jerman yang mempunyai undang-undang seumpama itu yang dikenali sebagai Akta Penguatkuasaan Rangkaian (NetzDG) yang tertumpu kepada ucapan kebencian dan berita palsu. Ia berkuatkuasa pada 1 Januari tahun ini.

Negara-negara lain seperti Singapura dan Filipina juga sedang membincangkan pengenalan undang-undang berita palsu.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan