Pas bukan lawan kami: Phahrolrazi


ALOR SETAR - Pas bukannya parti pembangkang yang perlu diberikan lebih tumpuan sebagai lawan PRU14.

Sebaliknya Pakatan Harapan (Harapan) memilih untuk menentang BN berhabis-habisan.
Pengarah Pilihan Raya Harapan Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, misi utama Harapan adalah untuk mengambil alih kerajaan menyebabkan fokus lebih bertumpu untuk menewaskan BN.

“Jentera Pas hanya sebuah parti, kami tak anggap Pas sebagai lawan yang betul-betul perlu diberi tumpuan, sebaliknya sasaran kami adalah BN,” katanya.

Menurutnya, walaupun diuarkan BN memiliki jentera parti terhebat, ia bukan jaminan untuk parti itu menang PRU14.

“Jika kita bergerak sendirian, memang tak cukup untuk berdepan jentera BN. Namun jika kita bersatu, kita ada kekuatan dan akan jadi pesaing kuat mereka,” katanya.

Phahrolrazi berkata, sebagai individu yang bertanggung jawab merangka strategi gerak kerja parti, kesepakatan antara Amanah, PKR, DAP dan Bersatu semakin kukuh dalam semua aspek.

“Sebelum ini masing-masing dengan jentera parti sendiri, kami sudah putuskan untuk bergerak sebagai satu jentera, iaitu Harapan, wakili semua parti dan semua peringkat. Saya yakin kombinasi jentera setiap parti lebih berkesan,” katanya.

Menurut Timbalan Pengerusi Amanah Kedah ini, hanya satu pusat operasi pilihan raya mewakili Harapan dibuka di sesebuah kawasan tanpa mengira parti yang bertanding di kawasan itu.

“Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dibuka adalah kombinasi semua parti. Jika Amanah bertanding, mereka akan bentuk jentera parti kalangan mereka secara konsensus dan pilih siapa ketuai PDM itu tanpa mengira parti mana bertanding,”  katanya.

Tambahnya, ini bagi melancarkan gerak kerja selain diyakini keberkesanannya.
“Kita perlu yakinkan rakyat kita adalah gabungan parti yang bersatu padu mahu menentang BN. Proses itu kini sedang berlaku, semua ceramah, kempen mahupun aktiviti dilakukan atas nama Harapan,” katanya.

Mengulas parti yang bakal terajui Kedah sekiranya Harapan berjaya menawan Jelapang Padi pada PRU14, katanya, perkara itu belum dibincangkan.

“Bersatu dipilih mengetuai Harapan Kedah untuk hadapi PRU14, bukan ketuai kerajaan. Kita masih belum bincang parti mana akan ketuai Kedah, ia akan ditentukan kelak oleh pucuk pimpinan,” katanya.

Menurutnya, ini termasuk calon menteri besar Kedah dari Harapan, yang belum dibincangkan walaupun PKR sudah mengumumkan calonnya lebih awal, iaitu Datuk Johari Abdul.

“Setakat ini, Amanah mahupun Bersatu tidak pernah umum siapa pemimpin yang bakal diangkat sebagai menteri besar,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan