11,000 tandatangan bantah RUU Antiberita Tidak Benar 2018 dihantar kepada kerajaan

Dua petisyen yang mengandungi lebih 11,000 tandatangan dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri  oleh dua pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha  untuk mendesak kerajaan menggugurkan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018.

Rang Undang-undang itu masih dibahaskan dan dijangka akan diluluskan di Parlimen pada hari ini.
Kedua-dua petisyen itu dimulakan oleh ALIRAN dan Kesatuan Penuntut Undang-Undang Malaysia di United Kingdom dan Eire.

Petisyen pertama memperoleh 8,511 penandatangan sementara petisyen kedua mengumpul 2,782 penandatangan.

Pegawai KPUM Michelle Liu, menjelaskan kepada Aliran mengapa kumpulan pelajar undang-undang memulakan petisyennya.

“Kami percaya bahawa pelajar Malaysia mempunyai suara, tidak kira di mana mereka berada di negara kita dan di seluruh dunia.

“Sebagai rakyat kita mesti pemimin dan institusi negara ini bertanggungjawab, dan memberi kebebasan bersuara dan kebebasan media yang membolehkan kita berbuat demikian.

“Kita tidak boleh bertahan dan membenarkan undang-undang yang zalim itu, menjejaskan hak kita untuk kebebasan bersuara, disekat tanpa pengawasan dan perdebatan yang sewajarnya,” ujar kenyataan itu seperti dimuat naik di laman sesawang Aliran.

Kedua-dua petisyen lebih 11,000 penandatangan (sehingga 30 Mac 2018) telah dihantar melalui e-mel ke Pejabat Perdana Menteri dan salinannya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam nota yang dilampirkan bersama petisyen itu menyatakan kebimbangan mengenai siapa yang mempunyai kuasa untuk menentukan berita palsu dan kemungkinan berlaku salah guna.

Ia menggesa kerajaan menarik balik rang undang-undang itu daripada parlimen.

Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar pada mulanya memperuntukkan hukuman sehingga 10 tahun penjara dan denda RM500,000 kerana menerbitkan “berita palsu”,

Bagaimanapun, kerajaan menyemak semula draf itu dengan mengurangkan hukuman yang dicadangkan kepada penjara enam tahun.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan