PH umum kawasan Muhyiddin bertanding Khamis ini

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan kawasan yang bakal ditandingi Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis ini.

Sumber terdekat dengan presiden PPBM itu berkata, pengumuman itu akan dibuat menerusi Jelajah PH di Kampung Sri Tanjong, Panchor, Johor, pada jam 8 malam.

“Pada 19 April ini, kita akan umum (Muhyiddin bertanding di mana),” katanya kepada FMT.
Pengerusi PH dan PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong turut akan menghadiri program itu.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan akan mempertimbangkan untuk bertanding di Pagoh, jika itu yang dikehendaki pengundi.

Sabtu lalu, timbalan presiden PH itu membayangkan beliau mungkin bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir dan kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sama ada akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang disandangnya atau bertanding kerusi lain.

Pada 2013, DUN Gambir dimenangi Datuk M Asojan daripada BN dengan majoriti tipis 310 undi menewaskan 3 calon lain, iaitu Datuk Dr Mahfodz Mohamed (PAS) dan 2 calon bebas, Mohd Zan Abu dan Yunus Mustakim.

Muhyiddin menang besar di Pagoh dengan kelebihan 12,842 undi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Sejak 1978 hingga 2013, hanya sekali daripada 7 penggal beliau bertanding pada PRU mendapat kurang 20,000 undi, iaitu pada 1982.

Ketika gerakan Reformasi mengejutkan negara pada PRU 1999, Muhyiddin menang dengan majoriti 12,857 undi dan beliau berjaya mengharungi gelombang protes PRU 2008 dengan kelebihan 12,581 undi.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan