PRU14 pilihan raya bersejarah, kata Lim Kit Siang

Calon Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung 9 Mei nanti merupakan pilihan raya belum pernah berlaku sebelumnya dan bakal menjadi sejarah.

Katanya terdapat tiga alasan mengapa ia belum pernah terjadi dan bersejarah.

Pertama, kata Lim Kit Siang, tranformasi Johor daripada sebuah negeri “simpanan tetap” Umno-Barisan Nasional (BN) kepada sebuah negeri di barisan depan bagi perubahan politik dan pembaharuan nasional pada PRU14.

Jelasnya, sehingga pilihan raya umum 2008, Johor adalah sebuah negeri Umno-BN yang tidak dapat ditembusi dan kebal, sehinggakan pemimpin-pemimpin Umno-BN dengan bongkak mendakwa bahawa Johor adalah sebuah negeri sifar pembangkang dalam PRU12 dalam 2008.

Bagaimanapun tambah beliau, lanskap politik di Johor telah berubah secara drastik dalam PRU12 dan PRU13 dan politik Johor tidak akan menjadi seperti dahulu lagi berbanding lima dekad pertama selepas Merdeka dalam 1957.

“Dalam PRU12 dan PRU13, Pembangkang berjaya membuat “lompatan besar” ke hadapan di negeri Johor dengan wakilnya di Dewan Undangan Negeri (Dun) meningkat daripada enam kepada 18 kerusi.

“Dan dengan penubuhan Bersatu yang mempunyai seorang wakil rakyat dalam Dun Johor, Umno-BN untuk pertama kali hilang majoriti dua pertiga di Dun Johor sejak Merdeka dalam 1957.

“Bahkan, sekiranya berlaku persempadanan semula yang adil dan demokratik berasaskan “satu orang satu undi” dalam PRU13, Pembangkang boleh menang lagi lapan kerusi, menjadikan 26 daripada 56 kerusi Dun di Johor kerana Pembangkang mendapat 46 peratus jumlah undi bagi kerusi negeri,” kata beliau dalam ucapannya sewaktu penamaan calon semalam.

Sekarang tambahnya, Johor adalah salah satu negeri yang menjadi harapan Pakatan Harapan (PH) untuk dimenangi pada PRU14, sebagai laluan untuk menawan kuasa Persekutuan di Putrajaya.

Kedua jelasnya, ini bukanlah pilihan raya umum untuk memilih Ahli Parlimen dan Adun bagi daerah tersebut sahaja.

“Walaupun pilihan raya umum di Malaysia diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun, PRU14 ini adalah berbeza daripada PRU sebelum ini kerana pada PRU ini ia juga akan menentukan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baharu – Najib atau Mahathir.

“PRU14 dilihat sebagai pilihan raya bagi menentukan siapakah akan dijadikan Perdana Menteri, sesuatu yang belum pernah berlaku kepada rakyat Malaysia sejak lama,” kata beliau.

Kata Kit Siang, jika pada 9 Mei dua tahun lalu rakyat Filipina boleh menukar Presidennya, dan pada tarikh sama tahun lalu Korea Selatan juga boleh menukar Presiden mereka, soalannya sekarang pada 9 Mei nanti bolehkah rakyat Malaysia menukar Perdana Menterinya.

Ketiga tambahnya, yang paling penting, PRU14 merupakan peluang keemasan untuk pertama kali dalam sejarah 61 tahun negara, untuk kita menekan brek dan mengubah haluan – berhenti membawa negara ini menjadi sebuah negara kleptokrat yang gagal, sebaliknya menjadikannya sebuah negara impian semua rakyat.

“Biar saya simpulkan, objektif PRU14 ini adalah untuk Bebaskan Malaysia – daripada korupsi, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan dan sebarang bentuk eksploitasi,” kata beliau.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan