RUU355 modal besar Pas


SHAH ALAM - Pas mengakui Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) akan menjadi modal besar parti itu dalam PRU14.

Pengarah Institut Strategi Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini kerana usaha membawa usul pindaan akta tersebut ke Parlimen membuktikan Pas satu-satunya parti yang konsisten memperjuangkan Islam.

“Bagi Pas, kita tak pernah gagal. Kita berjaya bawa RUU itu ke pentas rakyat sehingga semua orang bercakap mengenainya dan menjadi satu dakwah kepada masyarakat Malaysia.

“Ini strategi kita untuk kemukakan bahawa Pas konsisten perjuangkan Islam. Pada masa sama, terserlah bahawa Pakatan Harapan (Harapan) memusuhi RUU ini dan agenda Islam,” katanya dalam sesi Facebook Live Sinar Harian, semalam.

Beliau mendakwa, Harapan juga tersilap langkah apabila tidak menyokong RUU tersebut. “Kenapa mereka tidak sokong? Sebab ada sentimen agama, kepercayaan dan politik yang membataskan mereka.

“Bagi Pas kita berjaya dan ini modal besar kita berhadapan rakyat untuk PRU14,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, rakyat perlu memberi peluang kepada Pas untuk menjadi kerajaan dan membawa RUU itu.

“Kegagalan untuk membawa RUU itu secara keseluruhan terletak pada tangan BN sebagai parti pemerintah. Pas boleh cadangkan saja.

“Tapi kita nyatakan kepada rakyat bahawa Pas dengan kerusi yang kecil kita tak mampu bersendirian.
Maka, pada PRU14 rakyat kena beri peluang kepada Pas khususnya di kerusi Melayu Islam supaya kita boleh bawa RUU itu atas nama kerajaan,” katanya.
 
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan