Undi PH, masa telah tiba untuk buat perubahan

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, masanya telah tiba kuasa memilih kepimpinan negara kembali ke tangan rakyat Malaysia.

Kata beliau, menurut Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selepas Parlimen dibubarkan, seterusnya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk mengumumkan tarikh-tarikh penting termasuklah hari mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Gunalah kuasa membuat pilihan yang amat penting ini demi masa depan anak cucu dan generasi akan datang. Kuasa undi saudara bakal menentukan hala tuju negara untuk lima tahun ke depan.

“Rakyat akan dapat memilih untuk mansuhkan GST atau kekalkan GST; untuk bersihkan negara dari najis rasuah atau kekalkan yang ada; untuk bina Malaysia yang lebih baik untuk semua atau kekalkan negara di tampuk lama,” kata beliau dalam satu kenyataan kelmarin.

Sehubungan itu beliau menyeru semua rakyat Malaysia untuk keluar mengundi beramai-ramai bila tiba hari mengundi nanti.

Marilah kita laksanakan tanggungjawab kita sebagai warganegara yang berhak mengundi, dan sama-sama meraikan demokrasi, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Beliau juga menyeru seluruh kepimpinan dan jentera Pakatan Harapan (PH) untuk melipat gandakan usaha mendekati rakyat, menyampaikan warkah Manifesto Harapan, dan menceritakan kejayaan-kejayaan Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang.

“Rata-rata kajian politik dan undian mendapati PH sedang mengatasi Barisan Nasional (BN) dan bakal membentuk kerajaan baru di Putrajaya.

“Dapatan ini hanya dapat direalisasikan dengan sokongan, dokongan dan tindakan berani seluruh rakyat keluar mengundi PH pada hari mengundi nanti.

“Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati segala usaha kita, dan mengurniakan keamanan dan keselamatan dalam perjalanan PRU14 nanti,” kata beliau.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan