Ahli Dewan Negara sokong semakan tatacara pilihan raya kampus universiti awam

Ahli Dewan Negara Senator Dr Mohd Nor Manuty menyokong usaha dilakukan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk menyemaksemula tatacara pelaksanaan pilihan raya kampus.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata,dengan usaha itu akan dapat membuka ruang kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sendiri untuk menjalankan pilihan raya kampus serta mengurangkan campur tangan politik luar dalam universiti.

“Ini dapat melatih kepimpinan dan idealisme mahasiswa di universiti awam di Malaysia yang telah lama dikongkong oleh kerajaan sebelum ini.

“Praktis sebelum ini di mana pihak Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang menjalankan pilihan raya kampus menyebabkan pihak berkuasa universiti campur tangan dalam pemilihan pelajar.

“Ditambah lagi ada pula calon yang diletakkan oleh HEP sendiri untuk mengelakkan pelajar yang tidak mesra kerajaan pada masa itu menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar,” ujarnya dalam status dimuat naik daripada facebooknya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan kementerian pendidikan pada Sabtu yang berkata, Tatacara pelaksanaan Pilihan Raya Kampus (PRK) di Universiti Awam (UA) perlu disemak semula bagi memberi laluan kepada pelajar melaksanakannya secara telus dan bebas mengikut acuan kepemimpinan mereka tanpa campur tangan pihak pengurusan universiti.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR ini turut berkata, antara janji Pakatan Harapan dalam mengangkat martabat universiti dan mahasiswa adalah untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta melantik Naib Canselor dan Lembaga Pengarah Universiti yang berkelayakan dan mempunyai merit.

Selain itu, katanya juga Pakatan Harapan berjanji akan meningkatkan pemikiran kreatif, kritis dan analitis generasi muda.

“Saya percaya dengan memberi kepercayaan kepada mahasiswa untuk menjalankan pilihanraya kampus sendiri, kemahiran-kemahiran yang akan dipelajari oleh mahasiswa akan bertambah dan mempersiapkan mereka sebagai pemimpin masa depan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan