Kerajaan mahu lihat harga rumah berubah selepas pengecualian SST

GEORGE TOWN: Kerajaan persekutuan mahu melihat lebih banyak respon positif daripada penggiat industri perumahan susulan pengumuman perkhidmatan pembinaan dikecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berharap dapat melihat sekurang-kurangnya perubahan harga rumah pada masa depan memandangkan kerajaan tidak mengutip cukai ke atas perkhidmatan pembinaan.

Beliau menjelaskan harga kereta turun sejak pelaksanaan SST dan harus ada respon positif daripada sektor perumahan.
“Kami harap terdapat sekurang-kurangnya beberapa perubahan pada harga rumah, dan menjangkakan dapat melihat sambutan positif pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau mengulas laporan di portal berita dalam talian yang memetik bekas pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (REHDA) Pulau Pinang Datuk Jerry Chan bahawa harga rumah tidak mungkin turun walaupun selepas pengumuman kerajaan mengenai pengecualian SST ke atas bahan binaan tertentu.

Lim berkata kerajaan akan mengkaji kadar cukai korporat semasa agar negara dapat mengekalkan daya saingnya di rantau ini.

Dalam pandangan peribadinya, Lim berkata beliau tidak berniat untuk menaikkan kadar cukai korporat namun situasi kewangan semasa negara menjadikan sukar bagi kerajaan untuk membuat keputusan.

“Kami mengambil maklum negara jiran kita telah mengurangkan cukai korporat, malah Amerika Syarikat telah mengurangkannya dari 35% kepada 21%.

“Berdasarkan kedudukan kewangan semasa negara, jika kita mampu mengurangkannya, kita akan mengurangkan kadar korporat, tetapi jika tidak kita akan menimbangkan pilihan lain,” katanya.

Beliau berkata pengumuman kadar baharu cukai korporat akan dibuat semasa pembentangan Belanjawan 2019 oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad pada 2 November di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Lim bersama Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam menghadiri taklimat SST dengan pemain industri.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan