Rakyat muak banyak sangat PRK, Halimah beritahu PH

SHAH ALAM: Bekas calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Seri Setia menyeru Pakatan Harapan ambil tahu kemerosotan peratus keluar mengundi dalam 3 PRK baru-baru ini.

Dr Halimah Ali berkata peratusan keluar mengundi yang kekal rendah pada PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong memberi gambaran rakyat sudah muak dan letih dengan pilihan raya kecil, lebih lagi tidak lama selepas memilih kerajaan 9 Mei lalu.

“Kita melihat bagaimana merosotnya peratus keluar mengundi semalam, sebanyak 44%, bahkan lebih kecil daripada Sungai Kandis.

“Ini didengarkan ada lagi pilihan raya yang dirancangkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media pasca PRK Seri Setia di Bilik Gerakan PAS TTDI Jaya.
Sebelum ini media melaporkan rancangan PKR mengosongkan 1 kerusi Parlimen untuk membolehkan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.

Pakatan Harapan dilapor mempunyai satu persefahaman di mana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, 93, akan menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas tempoh tertentu.

Semalam PH menerusi calonnya Halimey Abu Bakar menang PRK DUN Seri Setia dengan 13,725 undi menewaskan Halimah Ali yang memperoleh 9,698 undi.

Namun peratusan keluar mengundi bagi PRK itu hanya 44.1%, berbeza dengan jumlah peratusan mengundi pada PRU14 lepas iaitu sebanyak 85%.

Di Balakong pula, hanya 43% daripada 62,219 pemilih berdaftar keluar memilih wakil rakyat mereka.
Di PRK DUN Sungai Kandis 4 Ogos lalu hanya 49.8% pemilih berdaftar membuang undi.
Sementara itu Halimah berkata kemenangan PH semalam mungkin disebabkan faktor 3M iaitu “money” (wang), “machinery” (jentera), dan “media” sepanjang kempen.

“Sumber kewangan kita amat terhad. Semuanya dari poket ahli sendiri. Setiap hari berapa kali PH masuk dalam media,” katanya, dan menambah banyak program bantuan kerajaan negeri diberikan di Seri Setia.

“Ini termasuk menteri dan timbalan perdana menteri turun ke Seri Setia untuk berkempen.”
Bagaimanapun Halimah berkata PAS “menang dalam kalah” apabila berjaya meraih sokongan pengundi di 3 kawasan, undi pos dan undi awal tentera dan polis.

Tiga kawasan tersebut adalah TTDI Jaya, Sungai Wai, Petaling Jaya Seksyen 5
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan