Isu ICERD dan Kenduri Kesyukuran

Oleh RAHMAN MUDA

Lebih kurang seminggu lagi Parti Islam Se Malaysia (Pas) dan sekutunya akan berhimpun untuk merayakan penangguhan penglibatan Malaysia dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Ras Antarabangsa (ICERD). Isu ICERD merupakan isu yang mencemaskan sebilangan besar rakyat, terutamanya mereka yang selama ini memiliki darah istimewa – darah Melayu dan Bumiputera yang mempunyai banyak kelebihan berbanding darah-darah yang lain.

Soal ‘ketuanan darah’ telah menyaksikan respons yang pelbagai, tidak kiralah daripada pasukan pendukung atau penentang ICERD, sebahagian besar daripadanya masuk ke sarkis bersama-sama. Krisis nasional seperti ini sering melahirkan kumpulan yang ekstrem, seperti cinta yang tidak boleh bertepuk sebelah tangan – begitu juga dalam krisis ICERD; kumpulan penentang yang ekstrem melahirkan kumpulan penyokong yang ekstrem.

ICERD tidak menganggu ketuanan Melayu?

Saya berpandangan sebahagian besar pendukung ICERD percaya pada kesamarataan kaum. Hal ini bermaksud – sesuatu bangsa tidak mempunyai kelebihan terhadap bangsa yang lain. Kepercayaan seperti ini secara moralnya benar, tapi dalam konteks Malaysia – ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Keistimewaan Melayu dan Bumiputera dijamin. Sekiranya benar Perlembagaan tidak akan diubah melalui ICERD, apa sebenarnya tujuan pendukung triti antarabangsa ini mendesak kerajaan segera menandatanganinya?
Walaupun Malaysia mempunyai polisi tentang kaum ‘asal’, saya tidak fikir kaum minoriti didiskriminasi pada skala yang besar.
Namun kita tidak boleh menafikan dalam beberapa hal kaum minoriti menghadapi tekanan terutamanya jika wujud kuota khas – misalnya di universiti awam atau pekerjaan sektor awam. Walaupun Melayu dan Bumiputera mempunyai ‘ketuanan darah’, masih ramai dalam kalangan mereka yang hidup dalam keadaan susah. Secara logiknya; jika wujud kemiskinan dalam bangsa ‘tuan’ sudah tentulah bangsa ‘bukan tuan’ turut mengalami krisis yang sama, atau lebih teruk.
Kumpulan rakyat yang miskin perlu dibantu tanpa mengira bangsa, sebab itu saya merasakan perjuangan mengikut kelas sosial jauh lebih rasional berbanding perjuangan berteraskan bangsa. Sentimen bangsa sering digunakan sebagai ‘sugar-coat’ yang akhirnya menguntungkan kelompok tertentu-tentu sahaja, terutamanya mereka yang menguruskan amanah ‘bangsa’. Lihatlah bagaimana Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang terkait dengan beberapa skandal di atas nama menjaga kebajikan bangsa.
Saya bersetuju dengan Dr Nasir (Parti Sosialis Malaysia) apabila dia mengatakan masyarakat Melayu dan Bumiputera yang bekerja sebagai petani, nelayan dan seumpamanya gusar tentang ICERD. Jika benar ia menggugat keistimewaan mereka, ia ibarat sudah jatuh ditimpa tangga – kerana walaupun dengan polisi ‘ketuanan kaum’ yang ada sejak 61 tahun lepas, mereka tetap ketinggalan. Bagaimana jika ketuanan itu dicabut? Sudah tentu mereka akan lebih bermasalah.
Membina bangsa Malaysia
Saya kerap mendengar idea bangsa Malaysia, terutamanya daripada kumpulan yang anti-ketuanan Melayu, ia sudah menjadi zikir wajib kumpulan ini apabila membincangkan soal negara bangsa. Seringkali kumpulan berdarah ‘tuan’ akan bertahan ketika isu ini dibincangkan, tapi saya fikir mereka juga memiliki beberapa poin yang baik untuk menghalakan serangan terhadap idea ini. Misalnya kewujudan sekolah jenis kebangsaan atau diskriminasi dalam sektor pekerjaan.
Jika benar pendukung ICERD yang rata-rata berbangsa Cina dan India ingin mewujudkan bangsa Malaysia – mengapa tidak mereka berusaha menolak sekolah jenis kebangsaan terlebih dahulu? Sepatutnya mereka tidak perlu ragu untuk menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Pendidikan merupakan instrumen terbaik untuk melahirkan bangsa Malaysia, supaya mereka boleh belajar dalam bahasa Kebangsaan, bergaul dengan pelajar dari berbilang bangsa dan sudah tentu belajar silibus yang sama.
Terlalu sukar untuk Malaysia lari daripada isu bangsa, bahkan bagi saya fikir ia hampir mustahil. Lihat sahaja pada parti politik utama yang ada di Malaysia – mereka menggunakan bangsa sebagai dogma dan kiblat perjuangan. Walaupun ada parti politik yang tidak menggunakan bangsa sebagai kulit parti seperti DAP, tapi kita dapat melihat parti itu didominasi oleh masyarakat Cina.
Majlis kesyukuran
Selepas isu pencerobohan kuil, beberapa pihak yang mahu menimbulkan ketegangan kaum semakin berani. Semoga kenduri kesyukuran yang bakal dianjurkan Pas tidak akan menyimbah minyak tanah dalam api yang sedang marak. Wajar juga bendera parti ditanggalkan dalam acara ini – supaya kenduri ini kelihatan lebih jujur, demi bangsa dan agama, bukan kerana mileage parti politik.


Berita penuh https://malaysiadateline.com/isu-icerd-dan-kenduri-kesyukuran/
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan