Nik Omar diumum terajui Yadim bersama empat yang lain

Anak Almarhum Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu  Nik Omar Nik Abdul Aziz telah dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (Yadim) yang baru.

Bekas Adun di Perlis,  Zolkharnain Abidin pula dilantik sebagai timbalannya manakala tiga lagi dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah iaitu Timbalan Penasihat Umum AMANAH  Datuk Wira Abdul Ghani Shamsuddin, Presiden ABIM Mohd Raimi Abdul Rahim dan  ahli akademik Dr Mohd Abdul Razak.

Perkara itu dimaklumkan oleh Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika sesi membentangkan laporan minit mesyuarat Konvensyen Amanah kali ke-2 hari ini.
“Yadim di bawah Jakim dan Jabatan Perdana Menteri, pelantikan ini saya baru terima surat semalam. Tokoh-tokoh ini akan berperanan membantu kita agar agensi bawah kuasa kita berperanan lebih berkesan,” katanya.

Mujahid menjelaskan pelantikan lima pimpinan itu berikutan perwakilan daripada Alor Setar Adnan Saad yang membangkitkan kedudukan dan peranan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Zolkharnain Abidin  yang masih tidak diberi tempat dalam mana-mana agensi agama kerajaan.

Yadim ialah sebuah badan amanah yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Abdul Razak Hussein pada 1 Muharam 1394, iaitu 25 Januari 1974.

Ia bertujuan menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar berjalan seiring dan sejajar dengan dasar negara serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.


YDP Yadim sebelum ini adalah Dr Yusri Mohamad. Bekas naib presiden Pas yang menyertai Umno, Datuk Nakhaie Ahmad pernah dilantik sebagai YDP Yadim selepas meninggalkan Pas.
Ustaz Nik Omar, 54, merupakan anak lelaki sulong Nik Aziz. Beliau adalah pengetua yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah sekolah agama Maahad Darul Anuar, sekolah agama yang diasaskan oleh Nik Aziz.

Beliau menyertai pilihan raya umum ke 14 lalu dengan bertanding atas tiket AMANAH di Chempaka, kerusi yang pernah ditandingi bapanya, namun kalah.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan