Bukan Masalah Besar Untuk Tun Mahathir Lepaskan Jawatan PM

Oleh HAYAR HASSAN

Akhir-akhir ini topik yang sering dibualkan oleh rakyat Malaysia, khususnya bagi orang-orang yang begitu berminat dengan perkembangan politik semasa tanahair adalah persoalan berkaitan, “ Benar kah YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ke 7 akan melepaskan jawatan keramat itu dan merestui Dato’ Seri Anwar Ibrahim(DSAI) menjadi Perdana Menteri ke 8 ?”.

Saperti yang kita maklumi, DSAI telah pernah kempunan untuk menjawat tersebut pada tahun 1998, walau pun pada waktu itu DSAI hanya selangkah lagi untuk memegang jawatan keramat itu. Maka berlaku lah apa yang telah ditakdir Allah SWT terhadap karier politiknya. DSAI direhatkan selama sekitar 20 tahun daripada aktif berpolitik di bumi tercinta ini. Ini lah yang dinamakan Qada’ dan Qadar Allah SWT, pencipta seluruh alam maya ini. Kepercayaan kepada Qada’ dan Qadar Allah SWT adalah rukun iman orang-orang Islam yang ke 6.

Kita seringkali mendengar para asatizah mengatakan bahawa ,“ Rezeki, jodoh dan ajal adalah semuanya dalam Ilmu Allah SWT, kita tidak akan dapat mengetahuinya sehinggalah waktunya tiba”. Bagi kita pasangan-pasangan yang sudah berumah tangga, tentulah lebih arif akan hal ini. Isteri atau suami kita yang sudah menjadi jodoh kita akhirnya, kadang kala bukan lah pasangan yang kita cintai sebelum akad nikah. Namun kebanyakannya adalah pilihan keluarga yang akhirnya ditakdirkan Allah SWT menjadi pasangan dan teman hidup kita hingga akhir hayat. Ia datang dan terjadi secara alami apabila telah tiba waktu dan saatnya. Begitu juga lah dalam politik. Ketentuan Ilahi itu tetap mengatasi perancangan kita sebagai manusia.

Dalam Pakatan Harapan(PH) itu sendiri, daripada kalangan pemimpin dan penyokong-penyokong, kalau kita amati sememangnya terdapat dua kumpulan aliran pemikiran berkaitan isu ini. Yang pertama adalah kumpulan yang masih mahu jawatan Perdana Menteri itu disandang oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad. Kumpulan yang satu lagi pastilah mahu DSAI segera mendapat jawatan keramat tersebut.

Masing-masing mempunyai hujah dan rasionalnya yang tersendiri. Kita diajar untuk selalu meraikan perbedaan pandangan dan persepsi. Kebanyakan kita tetap mahukan agar perjalanan pentadbiran dan ekonomi negara berjalan dengan baik dan tidak berlaku sebarang huruhara yang berlebihan.

Ada yang mengatakan bahawa tempoh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad menjawat Perdana Menteri Ke 7 hanya lah untuk 2 tahun sahaja. Selepas itu DSAI akan menjadi Perdana Menteri ke 8 pula.
Mujur lah baru-baru ini YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Luar dan juga Ketua Sekretariat PH telah mengeluarkan suatu kenyataan yang agak konklusif sekitar isu ini. Beliau telah memaklumkan bahawa Majlis Presiden PH telah berbincang atas isu ini.

Keputusan yang telah dipersetujui secara konsensus adalah YAB Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi Perdana Menteri ke 7 apabila PH memenangi PRU 14. DSAI pula akan menjadi Perdana Menteri ke 8 apabila YAB Tun Dr Mahathir sudah bersedia menyerahkan jawatan keramat itu kepada DSAI. Tiada tempoh masa telah ditetapkan untuk perlaksanaan keputusan tersebut. Semuanya terpulang kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad atas sifatnya sebagai Pengerusi PH.

Bagi saya, bukan lah suatu perkara yang teramat besar bagi YAB Tun Dr Mahathir untuk melepaskan jawatan PM kerana sebelum ini pun beliau telah pernah melepaskan jawatan tersebut pada tahun 2003 kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Namun demikian, fakta yang amat penting yang perlu kita tahu adalah YAB Tun Dr Mahathir Mohamad telah berjaya juga menurunkan dua orang tokoh daripada jawatan Perdana Menteri Malaysia, dan seperti kita maklumi, beliau adalah satu-satunya politikus Malaysia yang berjaya untuk menjawat jawatan keramat ini untuk kali kedua. Itu lah hebatnya beliau. Qada’ dan qadar Allah SWT lah telah menentukan semuanya.

Qada’ dan qadar Allah SWT jualah yang telah menetapkan bahawa Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail(DSWAWI) menjadi wanita pertama Malaysia yang dipilih menjawat jawatan Timbalan Perdana Malaysia. Saya tidak pasti sama ada DSWAWI daripada hari pertama beliau menceburi dunia politik Malaysia, beliau telah impikan jawatan ini ! Rupanya jawatan TPM ini datang juga untuk beliau apabila masanya telah tiba selepas Pilihan Raya Umum(PRU) ke 14.

Oleh yang demikian, adalah wajar DSAI membiarkan sahaja perjalanan karier politiknya bergerak secara alami. Beliau boleh sahaja merancang dan membuat manouvre –manouvre politik yang biasa sebagai seorang bakal Perdana Menteri ke 8. Jangan lah DSAI terlalu melayani asakan-asakan orang-orang politik di sekitarnya. Elakkan lah manouvre-manouvre politik yang berlebihan. Rakyat kebanyakan tidak gemar untuk terus melihat terlalu banyak manouvre politik. Kalau boleh, contohi lah cara bekerja DSWAWI, menjadi pembantu setia kepada PM.

Apa yang jelas, sewaktu DSAI direhatkan daripada aktif berpolitik, DSWAWI telah berjaya menerajui PKR dengan jayanya selama sekitar 20 tahun tanpa PKR itu sendiri bergolak. Pergolakan kecil yang melanda PKR sekarang ini sedikit sebanyak akan menjejaskan karisma dan intergriti DSAI sendiri.

Episod-episod tahun 1998 tidak perlu diingatkan lagi. Biarkan lah ianya tersimpan dalam lipatan sejarah sahaja.

Pada waktu ini DSAI sewajarnya turut serta memberikan idea-idea kepada Kerajaan PH cara-cara untuk memulihkan ekonomi negara yang agak tenat , peninggalan BN. Apa yang sangat-sangat diharapkan oleh kebanyakan rakyat adalah kos sara hidup yang boleh terjangkau oleh rakyat terbanyak, peluang pekerjaan yang lebih kepada remaja serta lulusan IPTA, harga yang lebih baik untuk getah, kelapa sawit , padi dan nilai ringgit yang stabil serta tidak terlalu rendah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.













Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan