Enam bekas Ahli Parlimen sertai Bersatu tiada lagi pertalian dengan UMNO

SEREMBAN - UMNO menganggap enam bekas Ahli Parlimen parti itu yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada lagi sebarang pertalian dan hubungan dengan UMNO.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan mereka itu langsung tidak akan merencatkan kelangsungan dan agenda perjuangan UMNO.

"Pemilihan mereka untuk menyertai mana-mana pihak pasca UMNO adalah hak mereka sepenuhnya.
"UMNO dan saya hanya ingin sekali lagi merakamkan terima kasih atas segala sumbangan dan jasa mereka dalam UMNO sebelum ini. Selamat maju jaya dalam perjalanan politik mereka selepas ini," katanya dalam satu kenyataan media

Enam bekas Ahli Parlimen UMNO hari ini menyerahkan borang permohonan untuk memasuki Bersatu kepada Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu majlis khas di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd. Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Selain itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menerima kad keahlian Bersatu dalam majlis tersebut.

Mohamad yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO berkata, UMNO akan terus memfokuskan kepada agenda pemulihan parti yang sedang mendapat momentum dan sokongan terbaik daripada semua pihak. - K! ONLINE
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan