Presiden MIC sokong tindakan pemimpin parti di Pahang letak jawatan PBT

PRESIDEN MIC S A Vigneswaran menyokong tindakan pemimpin MIC Pahang dan semua 11 ahli parti dalam pihak berkuasa tempatan di negeri itu yang meletak jawatan sebagai tanda bantahan operasi penguatkuasaan di Cameron Highlands.

Vigneswaran berkata adalah lebih baik parti menyokong petani yang terjejas dengan operasi itu daripada bersengkokol dengan kerajaan negeri.

“Walaupun ini negeri ditadbir Barisan Nasional, kami kecewa dengan keputusan untuk mengusir petani berkenaan.

“Mereka (ahli majlis) dilantik ke jawatan supaya mereka boleh membantu komuniti India di negeri itu (Pahang).

“Kalau tak boleh berbuat demikian, lebih baik letak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, MIC akan terus berjuang untuk orang India Cameron Highlands walaupun mereka mengundi menentang parti itu pada pilihan raya kecil baru-baru ini.

Awal hari ini, pemimpin MIC Pahang V Arumugam mengetuai sekumpulan 11 ahli majlis PBT daripada MIC meletak jawatan untuk menunjukkan sokongan terhadap hampir 60 pekebun India yang diusir dari kebun mereka di Cameron Highlands.

Arumugam berkata keputusan meletak jawatan itu dibuat selepas usaha mencari penyelesaian terhadap isu pekebun di Kuala Terla menemui jalan buntu.

“Kami minta menteri besar untuk beri tempoh supaya petani boleh berpindah dan menuai hasil tanaman mereka. Kami cuba menjayakan rundingan itu tetapi menteri besar tidak dapat terima terma dalam cadangan kami,” katanya.

“Tiada yang berhasil. Kami gagal menyelesaikan masalah selaku wakil masyarakat di Cameron Highlands jadi kami tiada pilihan lain selain letak jawatan,” tambahnya.

Katanya lagi, pekebun terlibat juga sedia untuk berpindah dan memberikan keputusan menetapkan tempoh masa kepada Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

“Ini adalah kerana mereka sudah melabur banyak masa dan duit untuk kebun mereka. Jika kerajaan teruskan penguatkuasaan, ia boleh sebabkan pekebun muflis,” katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Dr Sallehuddin Ishak bagaimanapun berkata kerajaan negeri bertindak menurut lunas undang-undang terhadap aktiviti pencerobohan tanah haram di Cameron Highlands, terutama di kawasan tadahan air Kuala Terla, berhampiran Sg Ichat.

Katanya, misalnya kerajaan negeri menangguhkan perobohan kebun haram di kawasan itu selepas sebilangan petani berjaya mendapatkan injuksi daripada Mahkamah Tinggi Kuantan pada 11 Mac lalu.

Bagaimanapun, mereka menarik balik permohonan dan membatalkan saman pada 30 September, yang membolehkan kerajaan negeri meneruskan operasi penguatkuasaan.

“Kerajaan negeri komited untuk meneruskan penguatkuasaan dan tidak akan bertolak ansur bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat di Cameron Highlands.

“Loji rawatan air Kuala Terla adalah loji terpenting dan terbesar, menyediakan 70% keperluan air untuk Cameron Highlands, melibatkan 8,332 akaun,” katanya di Kuantan hari ini.

Vigneswaran juga mengecam petani yang memfailkan tindakan undang-undang, yang menurutnya menyebabkan kerajaan negeri bertindak mengusir semua petani di kawasan berkenaan.

“Kami dalam perbincangan untuk mencapai persefahaman dengan kerajaan negeri tentang situasi itu tetapi sebilangan petani, selepas mendapat nasihat pihak tertentu, memfailkan saman.

“Bila mereka sedar saman itu tak akan capai banyak hasil, mereka tarik balik saman dan sekarang menghilangkan diri.

“Mereka biarkan MIC untuk jernihkan keadaan dan berjuang untuk hak petani India di sana,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan dan dua pemimpin MIC adalah antara tujuh orang yang ditahan ketika mengadakan protes duduk menentang isu pengusiran pekebun Cameron Highlands awal hari ini.

Mereka ditahan sekitar jam 11 pagi dan dibebaskan dengan ikat jamin polis pada jam 7 malam.
Dua pemimpin MIC yang ditahan ialah Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MP Nathan dan Setiausaha Pemuda MIC G Theeageesh.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan