'Tikam belakang' Tun Mahathir, Khairuddin dedah helah pembangkang

KUALA LUMPUR: Pengkhianatan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sesi Parlimen akan datang adalah cubaan psikologi pembangkang untuk melemahkan Pakatan Harapan (PH).

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ia usaha pembangkang untuk mempamerkan keadaan tidak stabil politik PH masa kini yang semata-mata pentingkan perebutan jawatan dari bekerja keras menjaga kebajikan rakyat mahupun membangunkan semula negara Malaysia.

"Pembangkang kini semua mereka sudah menganggur, kalangan ini semua sudah tidak ada kerja.

"Tambahan pula, mereka mempunyai banyak dana dan kewangan untuk menjalankan kempen fitnah kepada seluruh rakyat hasil wang kerajaan semasa memimpin kerajaan dahulu.

"Saya hendak tanya siapa dalam PH yang cuba gulingkan Dr Mahathir dari jawatan PM?" soalnya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Sebelum ini, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menolak dakwaan wujud undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad yang bakal diusulkan di Parlimen oleh PH.

Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, Amanah melihat perkara itu sebagai khabar angin yang sengaja dimainkan parti lawan untuk mengalih pandangan rakyat.

Dalam pada itu tegas Khairuddin, hubungan di antara pemimpin-pemimpin dalam kalangan parti-parti komponen PH adalah amat harmonis.

"PH mengamalkan konsep musyuawarah yang cukup baik. Apa saja perbedaan pendapat di kalangan parti-parti atau pemimpin-pemimpin PH selalunya diselesaikan melalui rundingan meja bulat.

"Unsur tikam menikam dari belakang tidak wujud di dalam PH seperti UMNO pada suatu masa dahulu.

"Pemimpin-pemimpin UMNO cuba menabur fitnah pada hari ini semata-mata berteraskan kepada persepsi. Itu 'auta kosong' sahaja," tegasnya.

Khairuddin berkata, Dr Mahathir mempunyai ilmu politik yang amat mendalam sejak tahun 1946 sehingga kini tidak akan membuang masa melayani berita khabar-khabar angin sebegini.

"Dr Mahathir adalah seorang tokoh politik yang amat bijak dan dapat melihat pada jarak masa depan yang cukup jauh. Pandangan beliau cukup jauh ke hadapan.

"Semangat nasionalisme dan patriotisme Dr Mahathir terlalu tebal. Sebab itu pada usia 93 tahun beliau masih berjuang untuk membetulkan serta membaiki keadaan negara.

"Keseluruhan rakyat di negara kita kena bersabar kerana kerosakan negara terlalu teruk. Kita memerlukan sedikit masa untuk membangunkan semula negara demi kesejahteraan semua," ujarnya.

Khairuddin juga sedia menjadi individu di hadapan sebagai benteng jika ada pihak yang cuba menggulingkan Dr Mahathir.

"Bagi pihak diri saya; sudah cukup bersedia dengan pelbagai persediaan rapi bagi menghadapi kemungkinan ini sekiranya betul.

"Pada hakikatnya saya tidak beretorik. Sesiapa saja yang cuba hendak menggulingkan Dr Mahathir dari jawatan PM akan dihalang walau saya bertindak seorang diri.

"Ini adalah masa untuk kita semua bersatu hati bagi membangunkan semula negara. Bukan masanya kita bercakaran sesama sendiri bagi merebut jawatan. Kepentingan bangsa dan negara harus berada di atas segala-galanya. Bukan agenda kepentingan diri," katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Elok saja tanya Budin yang sangat galak membuat percaturan bagi DSAI naik takhta!

    BalasPadam