Azmin layak diuji sebegini

Episod baru politik jijik dan menjijikan telah bermula. Dunia politik dalam negara seolah-olah tidak merestui dan menghargai proses demokrasi. Walaupun di saat ahli politik - sama ada pernah memerintah lebih dari 60 tahun atau baru mentadbir - beromong kosong mendaulatkan demokrasi dan politik serba bersih.

Bermula dengan PRK Cameron Highland diikuti PRK Semenyih, isu perkauman diheret dengan percikan bunga api yang hampir membakar. Semakin hari ia semakin memualkan dan seolah-olah tiada penghormatan diberikan kepada demokrasi. Integriti diabaikan, fitnah disemarakkan dan kebenaran masih jauh untuk diketengahkan.
Bilakah episod ini akan reda?

Semenjak insiden mata lebam 1998 lagi, kerana kedangkalan dan haloba politik untuk kekal mencengkam kuasa, isu seks digunakan. Kaedah politik ini digunakan semata-mata untuk menyahkankan lawan dan menguburkan seteru politik daripada mara ke depan secara sihat melalui proses demokrasi.

Rakyat ditipu dengan rayuan sumbang mereka yang ingin meraih kekuasaan. Pada masa sama, rakyat dibenamkan dengan hutang negara, kronisme dan nepotisme.

Selepas 20 tahun episod mata lebam, muncul kembali episod pembunuhan karakter melalui dakwaan seks. Malah lebih teruk lagi, video secara terbuka dikongsi di dunia maya yang tiada sempadan. Tanpa perasaan segan silu yang sepatutnya menjadi budaya masyarakat Malaysia.

Ada yang membuka aib sendiri dengan pengakuan bersumpah dia telah diliwat. Dengan bahasa badan yang langsung tidak menggambarkan keresahan seorang yang dianiaya, ia amat meragukan.
Kenyataannya pula begitu tersusun seolah-olah memang ada skrip di depan layar.

Dengan bersandar penuh selesa di kerusi mewah, kenyataan dibuat dengan tenang tanpa tanda-tanda resah. Satu persatu tuduhan dilemparkan. Akhirnya kesimpulan dibuat agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan. Skrip yang disusun ini jelas tidak bersesuaian dengan lakon layar yang diketengahkan, malah rumusannya juga penuh keraguan. Ia tiada motif lain kecuali memaparkan satu lagi episod baru pembunuhan karakter.
Saya dan ramai lagi rakyat yang mengharapkan perubahan total dalam pemerintahan kepada sistem demokrasi yang lebih adil, telus, bersih dan berintegriti agak terganggu dengan kemunculan episod seks era Haziq Abdullah Abdul Aziz selepas era Mohd Saiful Bukhari. Era jijik ini kembali lagi dan berapa episod lagikah agaknya?

Ramai yang meraikan kejayaan rakyat pasca PRU ke-14 dengan harapan Malaysia menjadi lebih baik, dan penambahbaikan dalam segala aspek berbanding kebobrokan yang telah berlaku hampir 60 tahun yang lalu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali boleh dikatakan seorang yang berwawasan dan berusaha membersihkan kerosakan dalan agensi seperti Felda dan Risda dan juga isu 1MDB, Pemulihan semula projek berdaya maju dan untuk rakyat seperti lebuh raya di Kelantan adalah antara usaha yang membuatkan Azmin layak mendapat sanjungan.

Saya tidak mengenali beliau secara dekat. Namun apabila mendengar beberapa tujahan idea, ucapan dan sekali mendengar ucapannya di Kelantan, saya secara peribadi merasakan beliau boleh menjadi pimpinan masa hadapan untuk rakyat Malaysia.

Saya tidak tahu cita-cita politiknya, tapi sejak zaman ledakan reformasi 1998, Azmin telah menampakkan sikap membela rakyat dan menentang kezaliman, dan hingga kini dilihat konsisten dengan falsafah dan pembaharuan yang beliau ingin lihat dalam era Malaysia Baru.

Kesungguhan beliau membentangkan kertas putih FELDA dan laporan-laporan ekonomi semasa di parlimen amat meyakinkan, memberangsangkan dan patut disambut oleh segenap pentadbiran kerajaan di pelbagai peringkat.

Azmin sedang diuji. Tiada pemimpin yang tidak mengalami ujian dan rintangan. Namun ujian kotor, jijik dan mengaibkan ini amat sukar untuk dihadapi.

Bagaimanapun sebagai pemimpin yang punya wawasan dan berkorban sejak 1998 mempertahankan keadilan dan menggerakkan reformasi, beliau 'selayaknya' diuji sebegini bagi memastikan kualiti kepimpinannya. Politik kotor dan jijik ini perlu dibenteras dan dinyahkan daripada pemikiran rakyat Malaysia.

Mana-mana pemimpin politik yang masih cenderung mengambil laluan politik dengan sentimen perkauman dan menggunakan fitnah seks, berhenti saja daripada menjadi pemimpin kerana di belakang anda ada jutaan rakyat yang dahagakan keadilan, kebenaran dan negara yang makmur.
Kepada Azmin dan keluarga, hanya sabar yang mampu saya katakan dan berdoa agar kalian dipelihara dan kebatilan akan runtuh akhirnya.

PROF DR SHAH NOR BASRI ialah pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan