Kedudukan Haziq dalam PKR diketahui hari ini

LEMBAGA Disiplin PKR akan memaklumkan keputusannya mengenai kedudukan Haziq Abdullah Abdul Aziz dalam parti kepada biro politik yang akan bermesyuarat hari ini, kata Anwar Ibrahim.

Haziq, yang juga ketua Pemuda PKR, didakwa mencemar nama baik parti dan pemimpin selepas membuat pengakuan beliaulah lelaki dalam rakaman seks yang tersebar baru-baru ini dan kemudian mengaitkannya dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

“Lembaga disiplin akan maklumkan kepada kami… semestinya. Penjelasan (oleh Haziq) diberikan kepada lembaga disiplin, bukan kepada saya,” kata Anwar, kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Biro Politik dijadual mengadakan mesyuarat mingguannya petang ini.

Biro itu dalam mesyuaratnya pada 19 Jun lalu dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Haziq berhubung pengakuannya dan tuduhan yang dilemparkan kepada Azmin.

Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi, menafikan tuduhan Haziq, yang disifatkannya fitnah jahat bertujuan memusnahkan masa depan politiknya.

Surat tunjuk sebab kepada Haziq mencetuskan pertelagahan dalam PKR apabila ada pandangan yang mahukan beliau dipecat serta merta.

Susulan daripada kenyataan Haziq,  pemimpin PKR bertelagah meminta parti memecat Haziq.

Sebahagian pimpinan dalam Pemuda PKR menolak keputusan Biro Politik yang tidak memecat Haziq serta merta, namun pendirian itu dikatakan tidak mewakili pandangan rasmi sayap.

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin pula membuat kenyataan kontroversi mahu tindakan sama pecat serta merta walaupun hadir dalam mesyuarat Biro Politik yang setuju Haziq diberi peluang menjawab sebelum dikenakan tindakan.

Haziq sebelum ini dipecat daripada jawatan setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang juga Ketua Penerangan PKR.

Dalam pada itu, polis masih lagi menyiasat penyebaran rakaman seks yang dikaitkan dengan Azmin.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan