Apa percaturan Dr M seterusnya?

Oleh Syahmi Minhad
Nama Dr Mahathir Mohamad tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia. Malah, nama beliau juga dikenali di seluruh dunia. Kebijaksanaan beliau dalam mengatur strategi politik menyebabkan namanya sering menjadi perhatian dunia.

Bermula sebagai seorang doktor perubatan, kemudiannya berkecimpung dalam dunia politik, dan juga pernah menghasilkan beberapa buku seperti “Dilema Melayu” dan “A Doctor In The House”, namanya terpahat antara pemimpin paling disegani di dalam dan luar negara.

Kebijaksanaan yang dianugerahkan kepada Mahathir menyebabkan beliau bertahan lama dalam dunia politik. Beliau kembali mengemudi negara pada 10 Mei 2018, 15 tahun selepas beliau melepaskan jawatan perdana menteri yang disandangnya selama 22 tahun.
Lima belas tahun lamanya beliau melihat negara yang pernah dipimpinnya tidak menjadi apa yang dirancang. Melihat beberapa kepincangan dan kelemahan yang ada, beliau menyusun strategi untuk memulihkan pentadbiran negara.

Pada satu tahap, beliau menekan pentadbiran kerajaan sehingga mengakibatkan beberapa perdana menteri terpaksa melepaskan jawatan kerana tidak tahan dengan tekanan. Beberapa timbalan perdana menteri juga gagal menjadi perdana menteri disebabkan percaturan Mahathir.

Peristiwa yang membuktikan betapa tingginya kuasa “magis” Mahathir ialah apabila parti pembangkang buat pertama kalinya berjaya memenangi pilihan raya umum dan membentuk kerajaan baru.

Dalam beberapa PRU terdahulu, Pakatan Harapan berjaya menambah jumlah kerusi di Parlimen, namun kemenangan itu belum cukup untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. PH berhempas pulas cuba menawan Putrajaya, namun tetap tewas.

Apabila Mahathir membuat keputusan menyertai blok PH, beliau sebenarnya membawa bersama percaturan politik yang sungguh berkesan. Beliau bersama pasukan pimpinannya berjaya memenangi PRU14, walaupun ketika itu beliau baru sekali memimpin PH untuk diuji pada PRU.

Selepas memenangi PRU14, Mahathir mula mencatur siapa yang layak dan tidak layak memegang jawatan penting negara. Diwujudkan juga beberapa kementerian utama seperti Kementerian Industri Utama dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk melicinkan pentadbiran negara.

Bukan itu saja, beliau juga secara drastik menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan yang berfungsi sebagai badan perancang, penasihat dan pemikir mengenai hal ekonomi negara.

Mahathir melakukan begitu banyak perkara yang pada zahirnya memerlukan daya pemikiran begitu tinggi, baik dari segi politik, ekonomi, sosial atau agama. Namun, kebanyakan keputusan beliau bukan saja menguntungkan dirinya, malah memberi kesan kepada pelbagai pihak.

Mahathir dilihat begitu aktif menyusun strategi politik dalam dan luar negara. Walaupun pada usia 94 tahun, beliau begitu ligat berfikir. Jika dilihat sekarang, Mahathir menampakkan dirinya sebagai tokoh politik yang benar-benar berkaliber.

Beliau melalui parti pimpinannya, PPBM sibuk mengembangkan sayap di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak. Beliau benar-benar mahu mengukuhkan pengaruh parti politiknya dan parti komponen PH lain, dengan harapan untuk terus menjadi kerajaan pada PRU15.

Beliau bukan saja mendapat sokongan parti pimpinannya, malah parti pembangkang lain seperti Umno dan PAS dengan sukarela memberi sokongan penuh terhadap kepimpinannya ketika ini. Jika diukur dari segi pengaruh, Mahathir menduduki carta tertinggi berbanding pemimpin lain di Malaysia.

Mahathir juga sedang mengukuhkan kerjasama dengan beberapa negara Islam seperti Indonesia, Pakistan dan Turki. Hubungan 3 negara ini nampaknya begitu erat dengan Malaysia. Nampaknya, percaturan politik beliau untuk berbaik-baik dengan negara lain berjaya.

Kini, rakyat tertunggu-tunggu apa pula agenda seterusnya yang ingin digerakkan Mahathir. Dengan negara manakah beliau mahu bekerjasama? Apakah beliau mahu menamatkan kerjaya politiknya dalam waktu terdekat? Jika benar, apa strategi beliau supaya proses peralihan kuasa berjalan lancar?

Semua persoalan ini menjadi perbualan rakyat setiap hari, tidak kira di kedai kopi, pejabat atau universiti dalam kalangan orang Melayu, Cina dan India. Semua ternanti-nanti tindakan lanjut Mahathir.

Hanya jauhari yang mengenal manikam, begitu juga dengan Mahathir, hanya dirinya tahu apa yang perlu dilakukan untuk bangsa, agama dan negara.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan