SKMM sebagai ‘polis media sosial’

Oleh HAEME HASHIM

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ialah agensi yang berautoriti terhadap salah laku di internet dan media sosial.

Mutakhir ini, begitu banyak salah laku di media sosial hingga boleh mengganggu gugat keharmonian awam.

Beberapa hari lalu, SKMM mengeluarkan kenyataan rasmi yang menggesa orang awam untuk melaporkan sebarang kandungan ofensif di media sosial yang berunsur 3R iaitu race (kaum), religion (agama) dan royalty (Institusi Diraja) secara terus kepada SKMM.

Ini bukan kali pertama SKMM bertindak menyediakan medium alternatif untuk rakyat membuat laporan kepadanya.

Melihatkan nombor aplikasi WhatsApp (016-2206262) yang disediakan oleh SKMM, nombor itu telah diperkenalkan sejak Mac 2016 tetapi ketika itu ia lebih kepada tujuan lain iaitu untuk melaporkan masalah telekomunikasi yang dihadapi oleh orang awam seperti capaian panggilan atau internet kurang memuaskan atau masalah berkaitan penyiaran yang tidak sesuai ditonton kanak-kanak.

Tindakan SKMM menyediakan medium alternatif untuk orang awam membuat aduan mengenai 3R itu adalah satu tindakan yang mendapat perhatian ramai. Ada yang bersetuju dan ramai juga tidak begitu gemar.

Negara polis

Adakah tindakan SKMM dalam ‘mempermudahkan’ proses aduan mengenai salah laku ofensif mengenai 3R itu wajar? Pada dasarnya, mempermudahkan proses aduan ialah satu inisiatif yang baik, namun ia akan membuka ruang kepada salah guna, fitnah, politik dendam atau ‘makan tuan’ kepada SKMM dan kerajaan sendiri.

Biarpun inisiatif itu dilihat relevan, kerajaan bakal dilihat sedang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara polis. Segala aspek dan pergerakan rakyat seakan diperhatikan.

Ramai dalam kalangan aktivis menyatakan kerisauan mereka jikalau ia bakal membuka ruang untuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) disalah guna oleh kerajaan bagi tujuan politik.

Selepas ini, mungkin perbualan sulit antara orang perseorangan bakal dikenakan tindakan jika ada pihak yang mendedahkan mesej perbualan tersebut kepada SKMM.

Ia berkemungkinan tercetusnya konflik hak privasi perbualan antara individu dan perbualan ofensif 3R.

Biarpun saya sendiri sering mengadvokasi mengenai keperluan AKM dikemaskini dan diperketatkan, namun saya kurang bersetuju jika ‘kemudahan’ yang disediakan oleh SKMM itu membawa petaka kepada ramai orang awam.

Dengan standard mentaliti majoriti rakyat yang masih terikat dengan politik perkauman dan agama, ia hanya akan membuka pintu kepada pendakwaan di bawah AKM secara berleluasa.

Tidak saya katakan bahawa tindakan menghina agama, bangsa dan institusi beraja sebagai satu tindakan yang dibolehkan, namun jika perbualan dilakukan secara sulit atau persendirian, maka tidak wajar untuk ia didedahkan kepada pihak berkuasa dan akhirnya membawa kepada siasatan dan pendakwaan oleh pihak SKMM.

Ini seolah-olah melanggar prinsip kebebasan bersuara serta kebebasan diri (personal liberty) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sekalipun kedua-dua kebebasan itu bukanlah bersifat mutlak, namun ia masih perlu dihormati oleh kerajaan.

Buat masa ini, SKMM sendiri sudah mempunyai saluran aduan yang cukup baik iaitu melalui laman webnya, talian khidmat pelanggan (hotline) malah melalui khidmat SMS.

Jadi, ‘mempermudahkan’ lagi proses aduan melalui aplikasi WhatsApp dan e-mel adalah tidak perlu. Orang awam sudah bijak untuk mengadu melalui akaun Twitter dan Facebook SKMM lantas penyediaan saluran WhatsApp serta e-mel khas untuk aduan salah laku media sosial hanya menambah beban SKMM.

Kita seakan-akan sudah menjadikan SKMM sebagai polis media sosial!

Satu lagi persoalan yang timbul adalah, adakah SKMM sendiri mampu ‘melayan’ kesemua aduan melalui WhatsApp dan e-mel khas itu? Saya amat pasti aduan mengenai 3R itu bakal mendapat sambutan hangat dalam kalangan orang awam.

Orang awam sebenarnya masih kurang pasti apa yang dimaksudkan sebagai ofensif berkenaan 3R itu.

Kebanyakan mereka lebih mengikut emosi ketika membuat aduan.

Jadi, jika sekadar teguran, kritikan atau kenyataan yang pada dasarnya tidak begitu sensitif tetapi orang awam melihat sebaliknya, itu akan membawa beban kepada bidang tugas SKMM yang terpaksa melayan pelbagai aduan dan kerenah yang remeh-temeh.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan