Srikandi BERSATU Sabah komited raih sokongan

KOTA MARUDU: Ahli Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah diingatkan supaya terus bekerja keras dalam meraih sokongan rakyat, sekali gus menolak tepi berasa selesa dengan pencapaian sedia ada.

Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Redonah Bahanda, berkata BERSATU baru menjadi kerajaan dan perlu bersaing dengan gerakan pembangkang di luar sana.

“Setiap gerak kerja perlu dilakukan secara komited dan konsisten kerana apa yang lebih membimbangkan ialah perubahan daripada segi pola serta kecenderungan pemikiran rakyat yang menjurus kepada budaya politik kebencian.

“Kita perlu sentiasa berpegang kepada prinsip bekerja sepasukan dan bukan secara sendiri.

“Tanpa pasukan mantap, tidak mungkin kita mampu melaksanakan gerak kerja dengan baik, apa lagi berdepan dengan parti lawan yang sentiasa cuba mencari kelemahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perjumpaan dengan Pengerusi Zon 1 dengan ahli jawatankuasa Srikandi BERSATU Kota Marudu, di sini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Zon 1 yang juga Ketua Srikandi BERSATU Kudat, Datuk Aminah Ambrose.

Redonah berkata, ahli Srikandi perlu bersama-sama berusaha mengukuhkan parti itu di Sabah.

“Segala dasar dan parti perlu diketahui oleh ahli akar umbi. Kepercayaan dan sokongan yang dicapai BERSATU hari ini bukan datang dengan mudah, malah tiada ada lampu ajaib untuk digosok yang membolehkan kejayaan diraih dalam sekelip mata,” katanya.

Redonah yang juga Ketua Penaja Srikandi BERSATU Kota Marudu berkata, kehadiran parti itu di Sabah bukan bertujuan menjatuhkan kerajaan sedia ada atau merebut mana-mana jawatan.

“Kemasukan BERSATU ke Sabah tepat pada masanya kerana rakyat Sabah sedar manfaatnya kepada negeri dan rakyat dalam banyak aspek.

“Kehadiran BERSATU di Sabah untuk menguatkan kerajaan, bukan menentang kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN),” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan