Kerajaan bayar RM13.9 bilion hutang 1MDB dan SRC

KUALA LUMPUR: Kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM13.9 bilion untuk melunaskan bayaran khidmat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak 2017.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) telah membuat pembayaran balik hutang sebanyak RM8.8 bilion bagi pihak 1MDB dan SRC iaitu sebanyak RM6.7 bilion pada 2017 dan RM2.1 bilion pada 2018.

Menurutnya, pada tahun 2019, sebanyak RM2.4 bilion perlu dibayar untuk bayaran-bayaran tahun ini.

Beliau berkata, selain daripada menggunakan dana awam, bayaran-bayaran ini juga bergantung kepada dana pemulihan aset 1MDB sebanyak kira-kira RM1.45 bilion setakat ini yang berjaya dikembalikan serta kutipan derma orang ramai kepada Tabung Harapan Malaysia sebanyak RM203 juta.
"Seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2020 baru-baru ini, sejumlah RM2.7 bilion turut disediakan untuk 2020 bagi melunaskan bayaran khidmat hutang 1MDB dan SRC," katanya.

Menurut Guan Eng, pembayaran balik hutang-hutang 1MDB dan SRC tersebut telah disembunyikan oleh kerajaan terdahulu dan hanya didedahkan selepas kerajaan Persekutuan bertukar pada 9 Mei 2018.

"Jelas sekali, pembayaran balik kerajaan untuk membiayai kerugian akibat skandal 1MDB dan SRC adalah sebahagian daripada skim penyelewengan kewangan dan salahlaku 'kleptokrasi' kerajaan terdahulu," katanya.

Katanya, skandal kewangan dan penyelewengan oleh kerajaan terdahulu sama ada berkaitan dengan 1MDB atau yang bukan 1MDB dianggarkan membabitkan kira-kira RM150 bilion dengan kes 1MDB sahaja melibatkan jumlah sebanyak RM51 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039.

"Bayangkan betapa besar impak jumlah RM13.9 bilion, yang perlu dibelanjakan sejak 2017 hingga 2020 untuk membiayai kerugian skandal 1MDB dan SRC sekiranya ia dapat digunakan untuk kebajikan rakyat.

"Bagaimanapun, kerajaan akan tetap komited untuk menunaikan amanah menjalankan pembangunan dan kebajikan rakyat," katanya. - Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan