PH bidas Najib: Tun Razak pun lantik Tun Tan Siew Sin Menteri Kewangan

Oleh Majlis Setiausaha Pakatan Harapan

Datuk Seri Najib Razak telah memperlihatkan sikap rasisnya apabila mempertikaikan status Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan hanya kerana beliau berketurunan Cina.

Dalam ucapan ceramahnya malam tadi, bekas Perdana Menteri yang kini diarahkan oleh mahkamah untuk membela diri atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram, cuba menimbulkan kebencian terhadap kaum Cina dengan mempersoalkan identiti bangsa Menteri Kewangan tersebut. 

Berdasarkan kepada klip video yang memaparkan ucapan itu, Datuk Seri Najib antara lain berkata: “Di mana letaknya maruah Melayu kalau Menteri Kewangannya DAP (Lim Guan Eng). Boleh dia jaga maruah Melayu atau tidak? Agenda Melayu dia tak tahu apa.” 

Kami ingin mengingatkan Datuk Seri Najib bahawa ayahanda beliau sendiri, Allahyarham Tun Abdul Razak telah melantik Presiden MCA, mendiang Tun Tan Siew Sin sebagai Menteri Kewangan pada 1970-74. Malah, Tun Tan juga telah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sejak 1959. 

Apakah ketika itu maruah Melayu tidak dijaga oleh pentadbiran Tun Razak serta Almarhum Tunku Abdul Rahman hanya kerana mereka melantik Menteri Kewangan yang berketurunan Cina?

Wibawa seorang Menteri Kewangan terletak pada integriti, sifat amanah, cekap, dan bersederhana mengurus kewangan negara. Bukannya dengan mempersoalkan keturunan bangsa. Kewibawaan Menteri Kewangan lebih terserlah sekiranya tidak memasukkan duit negara ke dalam akaun peribadi dan berbelanja mewah untuk mempertahankan kuasa.

Walaupun Datuk Seri Najib kini gundah-gulana kerana berhadapan dengan kes jenayah yang besar, tetapi itu bukan alasan untuk beliau memutarbelitkan sejarah dengan bermain dengan api perkauman. 
Sebagai bekas Perdana Menteri, beliau sepatutnya membawa isu ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pentadbiran kerajaan jika ingin mengkritik Pakatan Harapan, bukannya menjatuhkan maruah sendiri dengan cuba menjadi wira perkauman

Kenyataan ini dikeluarkan bersama oleh Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung PPBM, Datuk Wira Haji Marzuki Yahya; Timbalan Setiausaha Agung (merangkap Setiausaha Agung) Amanah, Abang Ahmad Kerdee; dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan