Sebagai pentadbir, kita yakin mereka mempunyai cukup pengalaman dan kemampuan untuk membuat pertimbangan wajar, ketika keadaan memerlukan. Jadi kenapa perlu dibebankan mereka dengan prosedur serta kerenah dokumentasi yang menyulitkan.
Agak tidak kena ketika wabak melanda, guru besar atau pengetua masih sibuk menyiapkan laporan untuk diserahkan kepada jabatan dan kementerian, sedangkan yang lebih utama memastikan pelajar dan guru tidak terdedah bahaya. Dalam hal ini semakin lama ia ditunggu, semakin tinggi risiko ditanggung.
Bagi pengetua atau guru besar, jangan pula ‘kuasa’ diberi itu disalah guna atau ada yang sengaja mengambil kesempatan atas kes berlaku untuk mengisytiharkan cuti atau tutup sekolah sesuka hati.
Yang pasti, di sebalik kelonggaran diberikan, masih ada prosedur arahan tetap (SOP) perlu dipatuhi.

Apabila pola migrasi penduduk bandar ke desa meningkat, ramai melihat ia sebagai bukti kehidupan di desa semakin baik. Namun, terfikirkah kita ada antara mereka itu sebenarnya bukan berhijrah, tetapi lebih kepada kembali ke desa selepas kehidupan di bandar tidak seperti diharapkan. Mungkin dibuang kerja atau tidak mampu menanggung kos sara hidup tinggi di bandar.
Apa pun sebabnya, persoalan harus dilihat sama ada keadaan desa mampu untuk menampung kehadiran kelompok migrasi ini. Dalam hal ini, kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Luar Bandar perlu ada perancangan untuk memperbesarkan kek ekonomi sedia ada. Kita tidak mahu migrasi penduduk bandar ini menambah beban sedia ada kepada kehidupan desa, contohnya seperti isu pengangguran serta masalah sosial.
Dalam hal ini, usaha memastikan peluang masyarakat desa mampu meningkatkan ekonomi perlu terus disuntik. Bukan sahaja melalui peluang kerja, tetapi peluang meningkatkan ekonomi melalui aktiviti perniagaan, pertanian dan sebagainya.
Namun, setiap bantuan disalurkan atau inisiatif digerakkan perlu dipastikan bukan dalam bentuk ‘ikan’, tetapi lebih kepada ‘kail’. Kita mahu masyarakat desa berdikari, bukan terus-menerus bergantung kepada bantuan dan ihsan pihak lain.

0 comments:
Catat Ulasan