Maszlee letak jawatan menteri pendidikan

DR Maszlee Malik menyebut tiga isu yang “menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan” sebagai antara sebab beliau meletakkan jawatan sebagai menteri pendidikan.

Tiga isu itu ialah pengajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan, pembekalan kemudahan Internet di sekolah dan program sarapan percuma.

“Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma,” katanya, semasa mengumumkan pengundurannya dari Jemaah Menteri.

Maszlee, 45, sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya untuk memaklumkan keputusannya berundur dari kabinet.

“Atas nasihat beliau yang merupakan bagi saya seorang ayahanda, pemimpin dan seorang negarawan ulung, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka saya dengan hati yang redha walaupun berat, dengan nasihat perdana menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai menteri pendidikan kepada perdana menteri berkuat kuasa 3 Januari 2020,” katanya.

Beliau membuat pengumuman itu dalam satu sidang media di pejabatnya petang ini, sekali gus mengesahkan laporan media yang memetik sumber di Putrajaya awal hari ini.

Pengganti Maszlee sedikit masa lagi, kata PM

Sejurus pengumuman tersebut, Dr Mahathir dalam satu kenyataan memaklumkan beliau menerima peletakan jawatan Maszlee.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang telah beliau berikan selama menjadi anggota Kabinet.

“Pengganti beliau akan saya tentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi,” kata Dr Mahathir.

Dalam kenyataannya kepada media, Maszlee merakamkan terima kasih kepada perdana menteri atas peluang yang diberikan untuk berkhidmat dalam kabinetnya.

“Ia adalah hadiah terbaik kepada saya sebagai pendidik dan aktivis akademia,” katanya, yang menyertai politik dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan menang kerusi Parlimen Simpang Renggam.

Maszlee yakin selama jadi menteri dalam tempoh 20 bulan ini, beliau sudah meletakkan asas dan hala tuju untuk pendidikan Malaysia yang jelas untuk diikuti oleh warga kerja kementerian, iaitu pendidikan untuk semua.

“Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baharu.

“Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama,” katanya.

Ditanya kenapa beliau letak jawatan, Maszlee bagaimanapun berkata beliau yakin perdana menteri ada wawasan untuk memimpin negara dan beliau setia kepada Dr Mahathir, parti dan kerajaan.

“Saya percaya apa saja keputusan yang dibuat, nasihat kepada saya oleh perdana menteri adalah untuk yang terbaik bagi demi negara,” katanya.

Tiga isu punca “krisis”

Isu pengajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan jadi kontroversi selepas mendapat bantahan daripada badan pendidikan Cina dan Tamil, dan pada masa sama, disokong oleh pertubuhan Melayu.

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 14 Ogos mengekalkan keputusan tulisan Jawi diajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 di sekolah jenis kebangsaan mulai tahun ini, tertakluk kepada beberapa syarat.

Antaranya, hanya tiga muka surat dalam buku teks, mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PBG) serta ibu bapa, dan tidak dinilai dalam ujian atau peperiksaan.

Bagaimanapun, isu itu membawa kepada episod berbalas kenyataan antara pemimpin politik dan masyarakat, yang umumnya berbaur perkauman.

Dua bulan sebelum polemik isu pengajaran Jawi itu, Maszlee menghentikan perkhidmatan Internet percuma 1BestariNet yang dibekalkan oleh  YTL Communication Sdn Bhd (YTLC).

Kementerian sebaliknya membuka perkhidmatan itu untuk ditawarkan oleh tiga syarikat iaitu Telekom Malaysia Berhad, Celcom Axiata Berhad dan Maxis Broadband Sdn Bhd, untuk tempoh enam bulan sehingga 31 Disember lalu.

Pada 5 Julai 2019, Kementerian Pendidikan menjelaskan kontrak perkhidmatan YTL tidak disambung kerana merugikan kerajaan, yang terpaksa menanggung kos yang sepatutnya dibayar oleh syarikat itu.

Sementara itu, program sarapan percuma yang disebut oleh Maszlee dalam pengumumannya dijadual akan bermula di 100 sekolah terpilih mulai 20 Januari ini. Ia menelan kos RM20 juta, kata kementerian.

Maszlee, bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, diumum sebagai menteri pendidikan pada 16 Mei 2018 susulan bantahan pelbagai pihak terhadap keputusan Dr Mahathir menamakan dirinya sendiri menjawat portfolio itu.

Pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan sendiri, membantah kerana manifesto pilihan raya parti itu tidak membenarkan perdana menteri memegang jawatan lain dalam kabinet.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan