Sabah negeri pertama letak pegawai kanan SPRM di pejabat ketua menteri

KOTA KINABALU: Sabah menjadi negeri pertama menempatkan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Sabah Safar Untong berkata kedua-dua pegawai kanan SPRM berkenaan memulakan tugas secara rasmi hari ini.

“Pada 27 Nov tahun lalu kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk menempatkan pegawai kanan SPRM berkenaan secara pinjaman untuk tempoh 3 tahun.

“Mohd Fuad Bee Basrah Bee yang memegang Gred P54 akan ditempatkan sebagai Pegawai Integriti di Pejabat Ketua Menteri, manakala Nur Faridah Mohamad yang memegang Gred P44 pula ditempatkan sebagai Pegawai Integriti di Unit Integriti Negeri Sabah di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Safar berkata usaha penempatan pegawai kanan SPRM berkenaan menunjukkan kesungguhan Ketua Menteri, Mohd Shafie Apdal dan SPRM bagi mendokong hasrat kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berintegriti.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy berkata tugas yang akan dilaksanakan pegawai kanan berkenaan adalah lebih kepada membantu kerajaan negeri mempertingkatkan integriti penjawat awam di negeri ini, khususnya di Jabatan Ketua Menteri.

Mohd Fuad Bee pula berkata antara lain tugasnya adalah untuk mempromosi tadbir urus terbaik dan lebih kepada pencegahan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan