Anak muda, ciptalah pilihan sendiri

Oleh Adam Adli

Seminggu yang lalu, saat keadaan masih kucar-kacir, saya dihubungi teman jurnalis dari CNN Indonesia, Saudara Sandy. Tentulah untuk bertanyakan duduk letak perkara yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur. Selesai bertukar maklumat, beliau sambung dengan pertanyaan – anak muda bagaimana? Apakah tiada respon atau gimik seperti dulu-dulu? Beliau merujuk kepada yang pernah beliau saksikan dengan mata sendiri sekitar awal dekad dahulu – pasca PRU13. Aksi jalan raya, protes serba protes yang terus menerus mewarnai ibu kota – yang kesemua digerakkan oleh anak muda tempatan.

Saya jawab jujur dengan beliau – bahawa dalam situasi hari ini, saya sendiri mengambil ketetapan yang agak berbeza. Kalau menurut Amir Hadi, teman dari Liga Rakyat Demokratik, sikap saya ini adalah faktor usia. Katanya saya sudah tua – atau mungkin sendiri memilih untuk menjadi tua sebelum umur. Wallahualam.

Saya terangkan kepada Sandy, tentulah ada yang menginginkan dan malah sudah pun memulakan beberapa aksi atau gimik seperti masa lampau. Tidak dinafikan, keadaan sebegini memang iklim yang lazimnya sesuai benar untuk dipanggil aksi sedemikian, tetapi entah kenapa ada yang tak berapa kena. Akhirnya memang, tiga kali protes dipanggil di Kuala Lumput, tiga kali juga kelihatannya tidak begitu disambut oleh rata-rata orang. Malah sampai menjadi bahan jenaka orang-orang tua di media sosial, perkara yang amat mengecewakan.

Saya sambung bahawa mungkin dalam situasi hari ini, satu-satunya perkara baik yang boleh dibuat oleh politikus adalah dengan tidak mengheret rakyat untuk ikut bersama. Krisis ini dimulakan oleh mereka, maka biarlah mereka yang selesaikan. Tidak adil rakyat biasa yang sudah sedia hidup hanya cukup makan diajak untuk bergelumang sekali. Sandy memahami apa yang saya jelaskan. Beliau respon kembali dengan mengatakan mungkin yang seharusnya berlaku adalah anak muda turun ke jalan bersama sepanduk berbunyi “biar kami saja, biar tidak gaduh!”. Ringkas saya jawab setuju disusuli ketawa.

Setuju saya itu bermaksud, memang sudah masa anak muda sahajalah yang mengambil alih keadaan. Bukan hanya dengan aksi tipikal seperti tunjuk rasa, sebaliknya lebih dari itu.

Ketika politik negara diperkotak-katikkan politikus-politikus tua melalui percaturan masing-masing yang kononnya penuh dengan silat dan seni politik untuk kepentingan mereka, mengapa pula anak-anak muda diharapkan untuk bertempur di bawah semata-mata bagi pihak mereka?

Perebutan kuasa antara politikus-politikus tua ini tidak langsung membawa sebarang manfaat buat yang lebih muda. Sudah berdekad sebenarnya wajah-wajah yang sama menjadi latar kepada politik negara. Lihat sahaja bagaimana rata-rata anak muda memandang politik; jelik, memualkan, kotor. Salah siapa kalau bukan orang yang mengisi ruang politik tersebut.

Bukankah pelik dan aneh kalau di sekolah dan universiti, atau melalui kitab-kitab ilmu politik yang ditelaah anak-anak muda ini, diceritakan bahawa politik adalah disiplin yang menuntut pemahaman falsafah dan ideologi yang tinggi. Tapi bila ditoleh kepada politik di depan mata, yang tersaji adalah sebaliknya.

Politik kita diisi dengan kebodohan dan tindak-tanduk yang tak langsung mencerminkan keberadaban. Politik kita tidak diwarnai dengan wacana dan perdebatan, sebaliknya pengkhianatan dan perpecahan. Bukan falsafah dan dasar yang diratib politikus kita, sebaliknya fitnah dan pembohongan. Permusuhan dan persaingan sehingga membawa rebah jadi manifestasi kepada kerakusan mereka. Inilah wajah politik orang-orang tua kita. Inilah yang diperhatikan oleh anak-anak muda sehingga mereka lari dari politik.

Sebab itu pilihan yang sepatutnya ada buat anak muda sekarang bukan lagi soal menyokong atau menolak sesiapa, sebaliknya mencipta pilihan sendiri – termasuklah mengambil alih kepimpinan politik dan negara daripada terus dirosakkan orang-orang tua korup di atas sana. Di saat orang tua merobohkan negara, anak muda harus ambil alih untuk membinanya semula.

Ini sedang dilakukan di seluruh dunia hari ini, kenapa tidak kita di sini? Kalau ada yang menganggap anak muda tidak cukup matang untuk memimpin negara, anggap sahaja rabun mereka sudah terlalu kuat dimamah usia. Belum cukup matang adalah lebih baik dari reput menunggu roboh, atau busuk menunggu berulat.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan