Khianat dalam sejarah Melayu

Oleh Faisal Tehrani
Di sesetengah negara yang korupsi menjadi endemik, mungkin juga di Malaysia, mendedahkan gejala rasuah dan korupsi boleh dianggap lapuk. Khususnya selepas skandal 1MDB, menelaah apa itu penyelewengan misalnya dapat dianggap ketinggalan. Ini kerana kelihatannya rasuah dan korupsi telah merata dan menjadi kebahagiaan buat sebilangan orang.

Sebagai misalan untuk masyarakat bebas atau minimum perbuatan rasuah, ia memerlukan kerajaan yang kuat. Akan tetapi untuk orang Melayu, dalam fikiran mereka secara tradisi; kerajaan bukanlah “government” apatah lagi “state”, akan tetapi ia bermakna sekadar keberadaan raja, atau memadai wujud sebuah, seorang, atau setompok manusia yang dapat dirujuk sebagai pemerintah. Sama ada pemerintah, raja, atau setompok manusia yang pura-pura memerintah itu benar-benar memerintah untuk memberikan semula kebaikan kepada rakyat bukan lagi soalnya. Cukup sekadar ada. Oleh sebab itu, orang Melayu sukar melakukan perubahan dalam politik. Dalam hal ini orang Melayu dianggap sejenis bangsa yang selesa, atau relaks.

Maka dalam sejarah kepimpinan Melayu, setiap kali ada pengkhianatan dan pembelotan, ia diterima seadanya. Ini kerana kalau ada raja, atau seketul atau beberapa ketul manusia yang dianggap boleh dan berkebolehan memerintah, ia sudah dianggap okey. Dalam erti kata lain, parameter Melayu terhadap pemimpin mereka sangat rendah, malah dalam beberapa keadaan tiada pun parameter atau skala pengukuran.
\
Sebagai contoh, tanpa kedatangan Portugis pada 1511, dapat dikatakan orang Melayu akan membiarkan diri mereka secara berterusan ditindas pemerintah Melaka ketika itu. Ini tidaklah bermakna saya mendukung kolonialisme, malah penaklukan kuasa asing terhadap orang Melayu hanya menambah beban sejarah. Cuma, saya ingin menunjukkan bagaimana orang Melayu okey dengan pengkhianatan dan kezaliman.

Sebagai contoh, dalam Sejarah Melayu kita mengetahui kegagalan Sultan Mahmud Syah memerintah Melaka. Baginda adalah raja, justeru kerajaan ketika Portugis menyerang Melaka. Peribadi baginda boleh dipertikaikan. Baginda digambarkan sebagai seorang pemimpin yang melimpah ruah hasad dan iri hati semata-mata didorong oleh nafsu syahwat yang meluap-luap kelaharannya. Baginda digambarkan sebagai seorang yang suka berzina malah dengan isteri orang, iaitu dengan isteri Tun Biajid yang merupakan anak Laksamana Hang Tuah. Baginda juga pantang melihat perempuan muda cantik, di mana sejarah mencatatkan keberahian nafsu baginda yang gasang kepada wanita-wanita ini tidak kira kepada isteri atau tunang orang sekalipun. Maka kita membaca perihal kecantikan Tun Teja Ratna Benggala anak Bendahara Pahang yang meskipun sudah ditunangkan dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Jamil, tetap Sultan Mahmud meleleh, “baginda pun ingin rasanya akan anak Bendahara Pahang itu”.

Tidak cukup itu, Sultan Mahmud juga berdendam ke atas Bendahara Seri Maharaja kerana mengahwinkan anaknya Tun Fatimah jelita kepada Tun Ali tanpa pengetahuan Baginda yang juga terkecur dan berkenankan Tun Fatimah: “Baginda berkata dalam hatinya; ‘Jahatnya Pak Mutahir ini, demikianlah baik anaknya tiada ditunjukkannya kepada kita’. Maka Sultan Mahmud Shah berdendam di dalam hatinya akan Bendahara.”

Selain itu tatkala Laksamana Khoja Hasan menyebar fitnah Raja Mendeliar (setelah Laksamana dituba dengan emas sebahara) iaitu kononnya Bendahara Seri Maharaja sedang berkomplot “kasadnya hendak naik raja di dalam negeri Melaka”, maka Baginda pun tanpa banyak timbang terus bertindak membunuh Bendahara serta 3 orang pembesar kerabatnya, kerana “kabullah pada hatinya (yang berdendam), seperti kata orang mengantuk disorongkan bantal.”

Pembunuhan Bendahara Sri Maharaja ini menjadi asas kegoyahan yang paling dahsyat buat Melaka.

Ini kerana kepimpinan Bendahara dan keperwiraan Tun Hasan Temenggung merupakan faktor utama dalam kemenangan Melaka menewaskan serangan pertama kuasa Portugis yang diketuai Gonzalo Periera, seperti yang disebut oleh Sejarah Melayu. Hanya dalam serangan Portugis yang ke-2 diketuai oleh Alfonso d’Albuquerque, yakni setelah pembunuhan 4 orang pembesar dan perpecahan dalaman yang parah, baru kalahlah Melaka.

Oleh semua kezaliman, dan pengkhianatan yang terjadi dalam pemerintahan apakah yang rakyat atau masyarakat Melaka lakukan? Sifar. Tiada. Relaks. Okey. Belaka. Pemimpin dianggap abah, tok ayah, bahkan dalam doktrin tradisional “bayang-bayang Tuhan di muka bumi”.

Ini semua memberi petanda selera politik atau kemampuan Melayu menilai pemerintahan yang baik amat rendah, comot, tidak cukup canggih dan ke hadapan, malah purba dan paling penting ia bertentangan dengan Islam. Maka tidaklah menghairankan hari ini, terdapat kumpulan kanan Melayu yang suka menjual kegemilangan Melaka, dengan mendiamkan atau menutup kezaliman dan penindasan berjela-jela.

Inilah sebab sasterawan Melayu bernama Fatimah Busu menuliskan seuntai sajak yang tidak perlu pun puitis. Ia berbunyi begini, yang tujuannya adalah untuk menyentak:

“Melayu oh Melayu! Kaulah pengkhianat negaramu!
Melayu oh Melayu! Kaulah pengkhianat bumimu!
Melayu oh Melayu! Kaulah pengkhianat bangsamu!
Melayu oh Melayu! Kaulah pengkhianat bahasamu!
Melayu oh Melayu! Kaulah pengkhianat agamamu!”

Sajak ini termuat dalam “Gurindam Jiwa 50 Tahun Merdeka”, yang memaparkan Melayu sentiasa, dan memang okey dengan pengkhianatan. Malah, tidak keterlaluan dikatakan Melayu terbiasa dengan khianat. Kalau berniaga tidak khianat bukan Melayu. Kalau berpolitik tidak khianat lagilah bukan Melayu. Kalau beragama tidak khianatkan sunnah Nabi (dengan tidak mencegah mungkar orang atas) bukan juga Melayu. Bezanya, selepas berlaku migrasi besar bangsa bukan Melayu iaitu Cina dan India ke Tanah Melayu, untuk setiap satu kebodohan dan kealpaan Melayu, mereka Melayu akan ada “punching bag” untuk dipersalahkan; “Apa lagi Cina mahu” atau “India balik negeri”.

Sikap sambil lewa Melayu dengan khianat ini bukan sahaja jatuh atas pundak Melayu, tetapi juga jatuh atas jemala gugusan Melayu yang lain, misalnya Jawa. Mereka juga tahu betapa okey dan relaksnya Melayu dengan khianat tetapi melayan ia seperti biasa. Prabowo (terlepas dari kecenderungan politik beliau sendiri) pernah membaca sebuah sajak yang tajuknya “Asal Santun” ketika berkempen di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 23 Mac 2014. Bunyinya begini:

“Asal Santun
Boleh bohong asal santun
Boleh mencuri asal santun
Boleh korupsi asal santun
Boleh khianat asal santun
Boleh ingkar janji asal santun
Boleh jual negeri asal santun
Boleh menyerahkan kedaulatan negara kepada asing
asal santun”

Jika menghuraikan apa itu kezaliman, rasuah, dan pengkhianatan sudah dianggap tidak bermakna, maka bagaimanakah kita melindungi rakyat, dan masyarakat keseluruhan dari petaka korupsi atau kejahatan pemimpin secara besar-besaran sekali lagi? Apakah yang perlu kita, di zaman moden lakukan?

Profesor Jerome Raymond Ravetz dari Institute for Science, Innovation and Society, Universiti Oxford menyatakan apa yang perlu dilakukan bukan lagi mencegah rasuah dan korupsi. Akan tetapi melakukan sesuatu yang lebih bermakna, iaitu mencegah aktiviti atau sebarang usaha upaya melindungi atau menyembunyikan rasuah dan korupsi tersebut. Justeru yang patut dilakukan kini bukan lagi menyelongkar korupsi tetapi menelanjangkan sebarang usaha untuk menutup korupsi itu sendiri.

Dalam tulisan beliau berjudul “Corruption” pada 2016, Ravetz menyatakan gandingan korupsi dan “cover-up” mestilah berani dirungkaikan. Beliau menyatakan, para sosiologi harus mulai mengkaji, bukan lagi tentang rasuah, tetapi tentang fenomena menutup apa yang sebenarnya ini. Kata beliau, “For, while corruption occurs at all levels, cover-up is the task of the higher levels responsible for direction and control. From this the lesson is that those at the top are never innocent. Indeed, it can be argued, the lower level corruption is the price of higher level corruption.”

Ravetz juga menulis betapa menjelaskan tentang skandal lebih mudah, tetapi memperihalkan tentang menutup apa yang sebenarnya jauh lebih payah. Apa yang berlaku ketika Kesultanan Melayu Melaka dahulu kala yang membuatkan orang Melayu dahulu, dan hari ini relaks dan okey bukan kerana mereka tiada agama justeru memejam mata segala kemungkaran; tetapi kerana kejahilan mereka diekploitasi orang atas dengan sungguh strategis lantas berlaku “cover-up” mempesonakan.

Contoh “cover-up” era tradisional adalah, kita biasa mendengar peristiwa Singapura dilanggar todak.

Mengapakah fenomena alam itu lebih terkesan oleh orang Melayu berbanding rentetan sebelum atau selepas kejadian tersebut? Misalnya, kejadian “Singapura Dilanggar Todak” tidak dibaca sebagai peristiwa Tuan Jana Khatib dihukum bunuh raja kerana sebab remeh, atau kita tidak membaca judul Hang Nadim dibunuh raja meskipun menyelamatkan Singapura. Yang lebih menonjol bukan 2 peristiwa zalim tersebut, tetapi lebih kepada todak. Tidakkah menjengkelkan Melayu lebih sedihkan hal ikan dari pembunuhan tanpa belas kasihan.

Kita seterusnya mendengar kisah Sang Rajuna Tapa dan anaknya yang lawa itu dan jarang kita membaca dengan tajuk atau kata kunci begini; “Akibat Khianat, Singapura Dialahkan Majapahit”. Ini contoh cara “cover-up” yang pernah berlaku.

Salah satu cara mengenal pasti permulaan kepada menutup apa yang sebenarnya dalam politik moden ialah apabila agensi-agensi kerajaan diketuai oleh orang politik dan bukan lagi teknokrat atau para profesional. Ia adalah permulaan kepada penindasan, kezaliman dan korupsi.

Hari ini jika Melayu memejam mata kepada gejala di atas tanpa rasa bimbang, malah kekal okey.

Relaks. Tidak apa. Atau bersikap ala orang Melaka pra 1511 yakni asalkan ada kerajaan. Atau lebih buruk, menyalahkan orang lain yakni meratib asalkan bukan Cina atau India; maka ketahuilah pusingan u yang penuh malapetaka akan berlaku sekali lagi.

Pusingan u itu adalah, kita sedang berpatah balik menuju destinasi lampau:
Selamat Datang Tirani.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Komen