Isu pengangguran kritikal: Pemuda AMANAH kemuka 11 syor penyelesaian

Pemuda AMANAH Nasional hari ini mengemukakan sejumlah syor penyelesaian berhubung masalah pengangguran yang semakin meruncing dalam negara, terutama selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac lalu.

Ketua Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin mencadangkan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), sekurang-kurangnya tujuh penyelesaian jangka pendek dan empat inisiatif utama bagi jangka masa yang panjang, untuk menyelesaikan isu tersebut.

Bagi jangka pendek, Shazni menyarankan agar kerajaan meneruskan subsidi gaji tambahan selama tempoh enam bulan lagi, selepas lanjutan tiga bulan tambahan diumumkan pada 5 Jun lalu iaitu enam bulan secara keseluruhan.

Beliau berkata, Bantuan Sara Hidup (BSH) juga perlu dilakukan secara berterusan untuk tempoh enam bulan, selain turut menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan lanjutan moratorium untuk tempoh enam bulan selepas tamat.

“Selain itu, menambahkan geran dan peluang kewangan kepada industri kecil sederhana (IKS) untuk membantu kelangsungan perniagaan mereka.

“Memberi potongan cukai kepada rakyat atau perniagaan yang membuat pembayaran berkaitan Covid-19.

“Berikan elaun serta perbelanjaan bagi individu yang bekerja tetapi dikurantin di rumah, supaya mereka boleh terus bekerja.

“Terakhir, tawarkan diskaun sewa kepada para peniaga yang menyewa di premis kerajaan dan meninggikan insentif potongan cukai kepada pemilik yang memberikan diskaun sewa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Teruk terjejas

Sementara itu, Shazni turut menyenaraikan empat cadangan utama kepada kerajaan bagi menyelesaikan isu kehilangan pekerjaan, untuk tempoh jangka masa panjang.

Apa yang utama katanya, kerajaan perlu memberi jaminan peluang pekerjaan terutama kepada pekerja yang berpengalaman tetapi menganggur hampir tempoh enam bulan, dan bagi kategori anak muda yang sudah menganggur dalam tempoh tiga bulan.

Beliau turut menekankan, tumpuan harus diberi kepada industri yang memerlukan pekerja di tapak-tapak pembinaan dan perkilangan selepas pemutihan pekerja asing dilakukan.

Kedua, kerajaan perlu mengenalpasti dan memberikan tumpuan terhadap industri yang paling teruk terjejas seperti industri pelancongan.

Hujahnya, pihak kerajaan perlu menyediakan mekanisme yang boleh membawa pekerja dari industri pelancongan kepada industri yang tidak terjejas dengan kadar segera.

Beliau berkata, dengan itu, pihak kerajaan perlu memberikan elaun kepada pekerja yang menukar bidang daripada sektor terjejas seperti industri pelancongan, kepada industri yang lain.

“Ketiga, kerajaan perlu membuat alternatif dengan menyediakan perkhidmatan Insurans/Takaful kepada kumpulan individu yang bekerja sendiri.

“Alternatif yang boleh digunakan adalah semua penerima BSH secara automatiknya didaftarkan skim takaful. Caranya adalah, sebahagian duit yang diterima akan ditolak secara automatik untuk pendaftaran skim takaful ini.

“Sekirannya penerima BSH tidak ingin mendaftar, mereka perlu memaklumkan serta menunjukkan skim insurans yang telah dilanggani,” katanya lagi.

Cadangan terakhir, Shazni menyarankan agar kerajaan memaksimumkan peranan pusat zakat dan waqaf seluruh negara.

Jelasnya, pusat zakat wajar menggunapakai pendapatan garis kemiskinan baru yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan sebanyak RM2,208 bagi penentuan had kifayah penerima zakat, dan mempertimbangkan zakat untuk mereka yang kehilangan pendapatan sementara.

Selain itu, katanya, pusat zakat harus diperanankan secara aktif dalam menyalurkan data serta bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain.

“Contohnya, pusat zakat bekerjasama dengan pejabat pertanian untuk mengenalpasti golongan petani yang tidak dapat meneruskan rutin harian disebabkan kehilangan sumber pendapatan

“Dengan seluruh solusi yang dikemukakan ini, Pemuda AMANAH berharap agar ianya dilaksanakan pihak kerajaan demi membantu dan meringankan beban rakyat,” kata Shazni lagi.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan