Nurul Izzah sahkan bukan lagi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Anwar


 KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengumumkan beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, berkata beliau kini menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican.
 
"Mohd Hassan telah mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.
 
"Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini. Menerusi peranan baharu ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata, beliau amat menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.
 
"Saya mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dukungan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.
 
"Rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan.
 
"Saya berharap khidmat membantu Tan Sri Mohd Hassan berserta anggota jawatankuasa lain mampu memberi manfaat kepada negara tercinta.
 
"Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita," katanya.
 
Astro AWANI pada 29 Januari lepas melaporkan Nurul Izzah mengesahkan beliau telah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Beliau membuat pendedahan itu dalam satu temu bual bersama akhbar The Star.
 
Anwar kemudian menjelaskan bahawa pelantikan Nurul Izzah tidak melibatkan bayaran elaun. Menurut Perdana Menteri, beliau sendiri mempelawa Nurul Izzah untuk membantunya sebagai penasihat.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan