Salah Faham Memahami


Oleh Zola

Islam tidak melarang penganutnya belajar dan faham tentang agama lain. Al-Quran menyebut, kedudukan orang berilmu mengatasi orang jahil beberapa tingkat. Apatah lagi jika ilmu itu bermuarakan iman.
 
Justeru saya pelik dengan sebahagian orang yang takut, bimbang, cemas, risau tak bertempat terhadap orang Islam yang mahu belajar dan faham berkaitan agama lain.
 
 Jika kita mahu orang lain belajar dan faham agama kita, maka kita juga wajar belajar dan faham berkaitan agama lain.
 
Bukankah bahaya orang yang tidak kuat pegangan agama Islam belajar tentang agama lain? 
 
Boleh jadi begitu, tetapi pada pengamatan saya, orang Islam yang tidak kuat pegangan Islamnya tidak berminat pun untuk belajar dan memahami agama lain. 
 
Logiknya, jika agama anutannya sendiri pun tidak diminatinya untuk difahami, entahkan agama lain?
 
Dunia maklumat sudah tidak punya sempadan lagi. Dulu, Imam al-Bukhari terpaksa merantau dari satu negeri ke satu negeri untuk mengambil satu hadith. Kini, hadith boleh dipelajari secara maya. Orang lain boleh belajar berkaitan Islam tanpa perlu ke masjid, sama seperti orang Islam boleh belajar tentang agama lain tanpa perlu memasuki kuil.
 
Satu hal lagi, orang Islam mesti yakin dengan kehebatan iman. Sesudah memasuki hati, dedahkan apa sahaja perkara kepada pemiliknya, iman tak akan keluar. Orang beriman tetap gementar hatinya apabila diungkap nama Tuhan.
 
 Demikian penegasan al-Quran. Cahaya iman biarpun secebis, lebih terang berbanding cahaya matahari.
 
Saya tidak menafikan keterjejasan iman jika tidak dibaja, tetapi untuk iman keluar dari hati seseorang, Allah lebih mengasihi hamba-Nya berbanding hamba-Nya itu mengasihi dirinya sendiri. Dengan syarat, orang itu beriman dengan jujur.
 

Saya tidak bermaksud orang Islam boleh keluar masuk gereja atau kuil sebarangan. Perbuatan itu dikira sia-sia. Orang beriman tidak terlibat sama sekali dengan perkara sia-sia. Agama kita dengan tegas melarang keterlibatan dengan perkara sia-sia sebegitu.
 
Maksud saya ialah, usah mempergunakan sentimen keagamaan, kononnya untuk menjaga iman atau memelihara aqidah sehingga mendorong kita untuk memercikkan api kebencian antara penganut pelbagai agama di negara ini. Perbuatan itu juga sia-sia.
 
Kita orang Islam wajar mengoreksi diri sendiri berbanding menyalahkan pihak lain kononnya mereka berusaha mahu mengeluarkan orang Islam daripada Islam.
 
Koreksilah akhlak kita, cara kita berkomunikasi, institusi agama kita, agamawan kita, masjid kita dan apa sahaja yang berkaitan dengan kita, adakah kita sudah berada pada tahap paling baik untuk memperlihatkan keindahan agama kita?
 
Atau kita hanya bermain dengan sentimen padahal kita tidak berbuat sewajarnya untuk memartabatkan agama kita?
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan