Anwar tak akan jadi PM ke-7



Oleh IZMIL AMRI 

Tajuknya garang sekali. Malah mungkin dikira biadab. Tapi itulah hakikat yang harus kita terima. Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan jadi Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh. Kita harus lekas-lekas bangkit dari mimpi itu dan bancuh kopi supaya tidak lagi mamai.

Kongres PKR yang baru selesai hujung minggu lalu memanglah akan menamakan ketua umumnya sebagai calon perdana menteri. Ia tidak ada nama lain untuk dikemuka. Habis jenuh pun ia akan menyebut nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dua nama ini sukar mahu dibantah-bantah. Malah memang menjadi pendirian Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahawa Anwar adalah calon perdana menteri. Mekanismanya, belakang kira.

Kita akui bahawa Anwar adalah faktor penyatu parti-parti pembangkang dan beliau adalah calon tunggal pengganti jawatan perdana menteri hanya kerana faktor itu. Tidak ada nama lain yang dikira mampu untuk menjadi pengikat parti-parti lawan Umno. Tidak ada.

Namun dinamik politik HARAPAN sedikit berubah dengan penyertaan BERSATU, sebuah parti dominan Melayu yang dipimpin bekas orang kuat Umno.

Dari situ muncul seseorang yang memiliki ketokohan dan kepimpinan untuk mengikat parti-parti politik pembangkang. Malah disebut oleh pimpinan pembangkang sebagai ketua pembangkang de facto lama sebelum beliau menubuhkan BERSATU dan menyertai HARAPAN.

Doa Arwah Fadzil Noor

Setiap kali namanya disebut juga, tidak sedikit orang yang akan menyebut tentang ‘doa Fadzil Noor’ yang khabarnya memohon supaya dipanjangkan umur Tun Dr Mahathir Mohamad supaya ia melihat kehancuran kerja tangannya sendiri.


Kita naik hairan bagaimana Mahathir, pada usia 91 tahun masih lagi kuat bergasak dalam arena politik, malah berada di barisan hadapan menentang kerajaan pimpinan parti lamanya.

Dan di mana sahaja Mahathir berada, di situlah pemimpin pembangkang akan muncul bersama.
Hujung minggu lalu, di kongres PKR, Mahathir tidak angkat plakad bertulis ‘Anwar PM ke-7’.

Khabarnya kerana memang tidak ada dikhaskan satu plakad untuknya. Pun begitu, beliau hadir, duduk sebaris dengan musuh-musuh zaman reformasi, malah menurunkan tanda tangan di kempen Bebas Anwar.

Mahathir bukan tidak tahu bahawa beliaulah manusia yang bertanggungjawab ke atas nasib Anwar sekarang. Dan bukan hanya sekali mereka bertemu mata sejak sekian lama tidak bertegur sapa.

Maaf dan tinjauan Dr M

Namun orang masih bertanya, kenapa Mahathir tidak minta maaf sahaja untuk segala kesilapan lama.
Mungkin permohonan maaf itu sebagai buah penutup menjelang pertempuran PRU ke-14. Kita biarlah beliau menyusun gerak, bunga dan buah sendiri dengan tidak tergesa-gesa. Mahathir orang lama. Silat politiknya lebih cekap dari kita.

Malah, minggu lalu juga Malaysiakini menyiarkan suatu tinjauan dengan tajuk ‘Patutkah Mahathir menjadi calon PM?’

Hasilnya setakat ini, memperlihatkan 67 peratus daripada lebih empat ribu pembaca Malaysiakini yang menyertai tinjauan itu bersetuju bahawa Mahathir wajar dinamakan sebagai calon perdana menteri. Selebihnya, 28 peratus tidak setuju, manakala 3 peratus tidak pasti dan 2 peratus tidak peduli.

Reaksi lingkungan media sosial saya yang terhad rata-rata ketawa dan hampir tidak percaya dengan keputusan itu. Bagi mereka, Mahathir sudah habis zamannya.

Jadi saya bikin tinjauan sendiri dan tanyakan siapa yang mereka mahu sebagai perdana menteri.
Ramai yang memetik nama Datuk Seri Mohamad Azmin Ali. Selebihnya menyebut nama Rafizi Ramli. Yang lebih ‘adventurous’ (barangkali) mencadangkan nama Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar, S. Arutchelvan (juga dari PSM) dan dua tiga yang lain menyebut nama Lim Guan Eng.
Itupun setelah gigih menapis jenaka yang mencadangkan Mat Over, Fattah Amin, Aiman Tino, Rosyam Nor, Hadi Awang dan sebagainya.

Kesimpulan tinjauan

Beberapa kesimpulan boleh dibuat. Antaranya, rakyat Malaysia sebenarnya memandang persoalan politik dan kepimpinan dengan nada jenaka. Maka tidak hairan kenapa kita akhirnya terpaksa berhadapan sarkas dan badut di Putrajaya.

Kedua (dan ini yang lebih penting), masyarakat tidak melihat mana-mana pemimpin yang cukup syarat dan sifat untuk menjadi pengganti perdana menteri.

Pun begitu, soal ‘siapa calon perdana menteri’ ini adalah soalan yang tidak punya asas undang-undang. Ini kerana sistem pilihanraya di Malaysia tidak memungkinkan kita memilih ketua kerajaan.
Apa yang kita pilih adalah calon-calon parti politik. Parti yang paling banyak kerusi, itulah yang dikira mempunyai pegangan majoriti di dewan legislatif, dan ketuanya lah yang akan bertemu Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan.


Agong pula melalui peruntukan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan ‘melantik sebagai perdana menteri untuk mempengerusikan jemaah menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat’. Demikianlah asasnya.

Namun persoalan calon perdana menteri ini adalah soalan politik yang sebenarnya langsung tidak ada kena mengena dengan undang-undang. Rakyat yang mengundi calon-calon parti politik hakikatnya mempertimbangkan siapakah yang mengepalai parti politik itu.

Kempen Umno, Najib

Datuk Seri Najib Razak misalnya, adalah presiden Umno dan pengerusi BN. Umno berkempen di serata ceruk dengan menjaja wajah Najib sebagai simbol kepimpinan, kesepakatan dan kestabilan gagasan politik yang dibawanya.

Wujud ilusi di situ bahawa kita memberi kepercayaan kepada Najib apabila mengundi BN. Sedangkan hakikatnya kita hanyalah memilih si fulan dan si fulan sebagai ADUN dan Ahli Parlimen.
Yang mengekalkan Najib sebagai perdana menteri adalah pengundi Parlimen Pekan. Kalau Najib bertanding di Marang misalnya, maka beliau tidak akan jadi perdana menteri.

Mahathir tidak akan jadi perdana menteri kerana beliau tidak mahu bertanding dalam pilihan raya. Dalam wawancara saya tahun lalu bersama beliau, dua tiga kali juga diulangnya bahawa beliau sudah tua dan zamannya sudah berlalu.

Calon perdana menteri pakatan pembangkang pula sekarang sedang meringkuk di Sungai Buloh dan terhalang daripada bertanding dalam pilihanraya. Jadi beliau tidak akan jadi perdana menteri ketujuh. Kelapan, mungkin lah kot. Itu pun kalau beliau masih mahu.


Sebenarnya, apa yang lebih fundamental sekarang ini ialah menyusun gerakan untuk mengatasi penipuan dan memenangi pilihanraya. Keboleh menangan itu lebih penting daripada memikirkan siapa calon perdana menteri.
Menang pun belum lagi, dah sembang ‘ghonimah’ memang jenuh la. Kalau kalah PRU14 ni, Najib Razak lah yang kekal tersengih duduk di Putrajaya.
Itu pun kalau pengundi Pekan masih tergamak mengundi beliau.

Tetapi apalah nasib kita ini hanya punya calon yang tua-tua belaka. Kenapa tidak dipilih orang muda yang masih tegap perkasa?

Azmin, misalnya. Bincangkan; 25 markah.



IZMIL AMRI seorang penulis dan pemerhati politik
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan