Oleh FAIZ FADZIL
1. Pendedahan yang dibuat oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika
Syarikat (AS) yang akhirnya telah menyerlahkan apa yang berlaku terhadap
wang AS$620 juta yang dipulangkan Malaysian Official 1 (MO1) kepada
“penderma”. Pendedahan oleh DOJ menunjukkan wang yang dipulangkan
tersebut diseleweng untuk dinikmati antaranya oleh isteri Perdana
Menteri Datin Seri Rosmah Mansor melalui akaun Tanore di Singapura yang
didakwa dikawal oleh Jho Low yang merupakan sahabat karib anaknya Riza
Aziz.
2. Tindakan DOJ ini telah membantu rakyat Malaysia untuk
memahami kemana wang yang telah dipulangkan oleh MO1. Walaupun DOJ
menggunakan identiti MO1, namun pengakuan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Dato' Abdul Rahman Dahlan bahawa MO1 adalah Perdana Menteri
Datuk Sri Najib Razak mengesahkan dakwaan DOJ ini.
3. Pendedahan
penyelewengan MO1 dan isterinya dalam skandal 1MDB ini telah mencalar
maruah negara di peringkat antarabangsa sehinggakan Malaysia digelar
negara kleptokrasi. Kemewahan hidup Rosmah Mansor hari ini melebihi
kemewahan yang pernah dipamerkan isteri diktator dan kleptokrat Filipina
dahulu Imelda Marcos.
4. Saman DOJ ini mendedahkan sebanyak
AS$27.3 juta digunakan untuk membeli loket dan rantai berlian 22 karat
berwarna merah jambu untuk Rosmah Mansor. Selain itu, Rosmah juga
dihadiahkan 26 barang kemas bernilai jutaan ringgit daripada
penyelewengan duit "derma" ini. Samaada barang kemas mewah ini
dihadiahkan oleh Jho Low sebagai tanda penghargaan atau arahan masih
belum terjawab. Justeru, Rosmah Mansor perlu jelaskan perkara ini kepada
umum kerana wang yang digunakan tersebut adalah milik rakyat.
5. Rosmah Mansor tidak boleh hanya menyatakan dakwaan ini sebagai fitnah
tanpa membuat apa-apa tindakan. Rosmah Mansor seharusnya melantik
peguam untuk mencelah prosiding saman 'civil forfeiture' oleh DOJ untuk
mencabar kesahihan fakta yang didedahkan. Sementara prosiding ini
berjalan, Rosmah Mansor juga perlulah memulangkan kesemua barang kenas
yang diterimanya bagi membantu penyiasatan sepertimana yang dilakukan
oleh pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio yang memulangkan Oscar yang
dimenangi Marlon Brando.
6. Peguam Negara seharusnya
menasihatkan Rosmah Mansor mengikuti langkah DiCaprio kerana ia adalah
prosedur biasa dalam penyiasatan kes sepertimana yang pernah ditunjukkan
SPRM dalam rampasan barang mewah milik EXCO Johor dan pegawai Jabatan
Air Sabah baru-baru ini. Ketua Polis Negara juga perlulah bersikap lebih
profesional dan diligent untuk mencampuri tindakan DOJ ini kerana ia
bukan tindakan saman sivil, tetapi tindakan jenayah. Ketua Polis Negara
perlu menunjukkan beliau lebih cekap daripada FBI dengan mengambil
sendiri barang kemas tersebut daripada Rosmah Mansor.
7. Peguam
Negara dan Ketua Polis Negara mempunyai tanggungjawab besar untuk
melindungi maruah dan integriti Malaysia dengan menasihatkan Rosmah
Mansor melakukan tindakan mengikut undang-undang.
Membina Negara Berintegriti
#PemudaBekerja
FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional
Parti AMANAH Negara
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan