Pengundian Belanjawan 2021: Menanti penuh debar sikap Umno, kem Mahathir


Oleh Zakaria Musa

Saya tidak mengikuti perbahasan Belanjawan 2021 secara dekat, meskipun menyedari banyak persoalan kritikal dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang dan juga kerajaan.

Tergambar seolah-olah akan berlaku kejutan dalam pengundian nanti apabila ada wakil rakyat kerajaan, khususnya fraksi Umno, yang cenderung bersikap berkecuali atau menentang rang undang-undang perbekalann itu.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didirikan atas “langkah khianat” itu dikenali umum sebagai pakatan longgar dan sarat dengan syak wasangka yang tebal. Kepemimpinan Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali dicurigai Umno secara terbuka; Bersatu dituduh membuli sekutunya yang mempunyai kerusi Parlimen paling banyak.

Beberapa pemimpin kanan Umno sudah tidak dapat menyembunyikan rasa amarah dan kesal dengan layanan Bersatu yang menguasai jawatan strategik kerajaan itu. Malah, ada suara popular, termasuk hingga ke peringkat akar umbi mendesak Umno keluar daripada kerajaan Muhyiddin-Azmin.

Dengan majoriti cukup tipis, hanya dibedakan sekitar dua atau tiga undi sahaja dengan pembangkang, kedudukan PN begitu goyah dan boleh runtuh jika beberapa ahli Parlimen Umno menarik sokongan.

Sepatutnya, medan untuk menguji legitimasi pentadbiran Muhyiddin adalah perbahasan undi tidak percaya kepada perdana menteri. Malangnya, Speaker Dewan Rakyat menyerahkan usul sepenting itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), yang pastinya tidak membenarkan untuk dibahaskan.

Justeru, pengundian Belanjawan 2021 terpaksa dimanfaatkan untuk menguji sokongan dan keabsahan “kerajaan tebuk atap” itu.

Sekiranya Belanjawan 2021 itu gagal mendapat sokongan majoriti, kenyataan Menteri Kewangan bahawa emolumen kakitangan awam tahun hadapan akan terjejas boleh dibuktikan hanya ugutan tidak berasas.

Pengalaman tahun 1999 menunjukkan Belanjawan 2000 yang tertangguh disebabkan PRU1999 tidak pula mengakibatkan gaji kakitangan kerajaan terganggu. Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri ketika itu, sudah membuat penjelasan mengenainya.

Banyak pihak mempersoal kesediaan ahli-ahli Parlimen Umno untuk mengundi tidak menyokong Belanjawan 2021 sekiranya isu-isu seperti moratorium dan KWSP gagal dipenuhi kerajaan.

Mutakhir ini Umno kerap mengambil pendirian “pusingan U” sekiranya membabitkan kestabilan kerajaan Muhyiddin. Apatah lagi Umno terbahagi kepada beberapa fraksi utama, yang menyukarkan kata sepakat dicapai. Masih, ramai pemimpin Umno yang bergantung harap kepada ihsan Muhyiddin.

Apakah ahli-ahli Parlimen Umno akan diberi ruang selesa berdasarkan nurani mereka, dan tidak terikat dengan keputusan parti, dalam pengundian penting itu?

Masa sama Muhyiddin-Azmin tentunya mengambil tindakan proaktif bagi menyelamatkan kerajaan, termasuk memenuhi desakan atau kritikan terhadap belanjawan.

Malah, kemungkinan ada lagi “tawaran istimewa” bagi melunakkan bantahan Umno. Kuasa mewajarkan segala-galanya. Ya, semuanya serba mungkin, ditambah dengan nasihat seorang lagi pencatur, Hamzah Zainuddin.

Semua pihak di luar kerajaan serta sebahagian pemimpin Umno perlu fokus menyingkirkan Muhyiddin terlebih dahulu.

Namun begitu, Umno juga harus melihat dalam kerangka lebih besar apabila mengabaikan aspirasi rakyat yang tidak berpuas hati dengan belanjawan itu. Prinsip perjuangan Umno akan dipersoal jika terus mempertahankan kerajaan yang paling lemah dalam sejarah ini. Kerajaan yang hanya sibuk dengan permainan kuasa elit politik tetapi mengabaikan pengurusan ekonomi dan kesihatan.

Sambil mengharapkan ada ahli Parlimen Umno berani menolak Belanjawan 2021, penggemblengan kesatuan suara pembangkang amat dituntut.

Blok Dr Mahathir bersama penyokongnya (Pejuang dan Warisan) usah diketepikan. Bukan rahsia lagi, perselisihan terbuka di antara kumpulan penyokong Anwar dan kelompok Mahathir menyebabkan usaha merebut kembali Puterajaya tertangguh.

Maka, dalam kesempatan berharga ini, semua pihak di luar kerajaan, bersama sebahagian individu tertentu dalam Umno, perlu memusatkan tumpuan bagi menyingkirkan Muhyiddin terlebih dahulu.

Negara perlu diselamatkan segera terutama ketika diamuk wabak maut ini, dan krisis ekonomi menuju puncaknya. Sebarang perbedaan kecil dalam kalangan politikus harus dikorbankan.

Jika ternyata Muhyiddin-Azmin tetap degil dan enggan melakukan penambaikan yang dituntut ramai, biarlah pengundian Belanjawan 2021 menjadi saksi “suara rakyat suara keramat”.

Biar terukir sejarah Malaysia yang lebih menjanjikan, kita boleh sahaja berbeda dan bertelingkah, tetapi apabila berdepan konflik kritikal negara, tekad dan azam harus digembleng bersama. Rakyat telah lama menunggu berita dan perkembangan baik daripada ahli-ahli politik kita.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Pengisytiharan darurat adalah lebih baik atas sebab faktor keadaan( jika bajet ditolak):
    1) keadaan sekarang covid yang masih diluar kawalan yang tak mengizinkan
    2) masalah internet akan dijadikan isu, nanti ada yang terjatuh mendaki gunung kinabalu, gunung tahan, memanjat pokok kelapa dan sebagainya kononnya nak mandapat coverage internet untuk mengundi,
    3) kebanyakkan parti hanya mementing merebut kuasa dari menjaga negara dan rakyat

    Pengisytiharan darurat bersyarat bole dilaku dengan urusan seperti biasa( urusan pentabiran, perniagaan termasuk banking dan jual beli dan sebagainya dengan kawalan ketat pdrm dan pasukan tentera, semua kegiatan parti diharamkan termasuk perhimpunan.

    cara melaksana diatas budi bicara kebijaksaan agong dan sultan2, suka tak suka mesti ikut, tak suka bole berambus kerana mengusahkan negara dan rakyat , keselamatan negara, islam dan rakyat diutamakan, NO KOMPROMIS

    BalasPadam