Lembah Klang medan politik Kelantan

DENGAN 15 - 30 % pengundi mereka berada di luar daerah khasnya di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang, parti politik utama di Kelantan, PAS dan Amanah kini menjadikan ibukota sebagai pusat kedua aktiviti mereka selepas Kota Bharu.

Penasihat Amanah Kelantan, Husam Musa membuat sidang media mengenai kerajaan Kelantan di ibu pejabat Amanah di ibu kota manakala PAS Kelantan juga menjawab isu ini di Lembah Klang.

"Semua isu yang dibangkitkan tentang pentadbiran Kelantan adalah rancangan licik untuk menjatuhkan kerajaan negeri. Ia dibuat secara sistematik dengan menyerang Kelantan isu demi isu," kata Nor Azaliza Mohd Alami, timbalan ketua pemuda PAS Kelantan dalam kuliahnya di sebuah surau di Selangor Sabtu lepas.

Kuliah beliau di Rawang itu adalah siri program PAS untuk mempertahankan kerajaan Kelantan ekoran serangan hebat Pakatan Harapan terutamanya Amanah terhadap pentadbiran kerajaan negeri itu.

PAS Kelantan mengadakan majlis berbuka puasa dengan anak Kelantan di Shah Alam tahun ini dan majlis hari raya juga diadakan di Lembah Klang.

Amanah juga mengadakan majlis yang sama di ibu negara.

Nor Azaliza yang lebih dikenali sebagai Ustaz Jaa adalah antara penceramah utama PAS yang bergerak ke seluruh negara bagi mempertahankan kerajaan negeri melalui kuliahnya di surau dan masjid.

Amanah, terutamanya Husam mula menyerang kerajaan negeri sejak beliau berada dalam PAS lagi sehinggalah beliau dipecat daripada parti yang memerintah Kelantan itu.

"Mula-mula isu ladang durian kunyit, lepas itu pembalakan kawasan Orang Asli, kemudian kampung Warisan di Tumpat, lepas itu Lembah Binjai dan kini isu karbon kredit.

"Semua isu ini dirancang rapi untuk menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri terutama di Lembah Klang ini," kata Ustaz Jaa di depan kira-kira 100 jemaah surau itu.

Dalam sidang medianya di ibu pejabat Amanah di ibu negara 4 Julai lalu, Husam yang dinamakan sebagai bakal MB Kelantan jika Pakatan Harapan menang di negeri itu, mendakwa kerajaan negeri terlibat dengan syarikat yang diragui untuk mengutip wang secara haram.

Ia berlaku apabila kerajaan negeri Kelantan menandatangani perjanjian dengan Climate Protector Sdn Bhd, walaupun Bank Negara Malaysia menyenaraikan syarikat itu dalam senarai amarannya.

Sehubungan itu, naib presiden Amanah itu menggesa BNM mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan itu sehingga boleh memeterai perjanjian dengan pihak lain.

Ekoran pendedahan itu, kerajaan Kelantan mengadakan mesyuarat khas pada 6 Julai bagi membincangkan perkara itu.

Dalam mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Mohamad Amar Abdullah, Pengarah Perhutan Kelantan, Zahari Ibrahim memberikan taklimat kepada pimpinan kerajaan negeri mengenainya.

Pada 8 Julai, Ustaz Jaa ke ibu negara dan memberikan penjelasan ini.

"Oleh kerana orang Lembah Klang ini sangat terdedah (kepada) laman sosial, kita kena bagi penerangan ini," kata beliau yang mengambil masa sehingga 10 minit di penghujung kuliahnya untuk menerangkan isu itu.

Dalam ucapan itu, beliau mengakui, kerajaan negeri mengadakan perjanjian dengan syarikat Climate Protector itu yang didakwanya menjadi orang tengah kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menjaga alam sekitar.

"Dalam perjanjian itu, kerajaan negeri akan mendapat RM500 juta setahun hasil daripada satu juta ekar kawasan hutan yang dipajakkan itu dengan cara kerajaan negeri tidak menebang hutannya. Bayangkan kalau dua tahun dan seterus 30 tahun sebagaimana yang ada dalam perjanjian itu," kata Ustaz Jaa.

Bagaimanapun, penyelaras residen PBB di Malaysia merangkap wakil Program Pembangunan PBB (UNDP) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Stefan Priesner, menafikan sebarang projek yang diluluskan agensi tersebut di Malaysia
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan