OLEH ALANG IBN SHUKRIMUN
ADAT berpolitik, mesti mengejar kuasa. Bodohlah
sesiapa menyertai politik tetapi tidak mahu berkuasa. Kerana politik
adalah satu seni untuk sampai ke tampuk pengaruh dan kekuasaan.
PAS di arena politik juga mengatur langkah untuk berkuasa. Bezanya
PAS tidak jadikan kuasa sebagai matlamat. Sebaliknya kuasa cuma
dijadikan satu wasilah atau medium untuk mempraktikkan Islam yang
syumul. Dengan erti kata lain, matlamat utama PAS adalah untuk
mempraktikkan Islam sebagaimana yang diperintahkan tuhan. Jika boleh
dipraktikkan tanpa wasilah kuasa, atau ada lagi wasilah lain selain
kuasa, maka PAS akan gunakan segalanya.
Kerana itulah sebahagian orang sukar memahami perjuangan PAS. Kerana
mereka menilai melalui kacamata politik adat. Mereka membanding PAS
dengan parti-parti lain yang menumpukan sepenuh usaha untuk meraih
kuasa. Sebarang program yang dilihat tidak menyumbang ke arah kuasa,
dianggap sebagai sia-sia dan tidak bijak.
PAS BUKAN SEKADAR PARTI POLITIK
Sedang PAS adalah gerakan Islam bukan sekadar parti politik. Selain
wasilah politik untuk meraih kuasa mempraktikkan Islam, PAS turut
mengguna wasilah tarbiyyah ataupun pendidikan, untuk mendidik manusia
mengenal Islam yang tulen, secara ilmu dan bermanhaj. Kerana itu PAS
satu-satunya parti di Malaysia yang memiliki beratus bahkan beribu buah
pusat pendidikan, sama ada langsung di bawah PAS atau dinaungi oleh ahli
PAS. PAS juga adalah gerakan dakwah, yang turun ke segenap ruang inci
masyarakat menyampaikan risalah Islam. PAS sangat sinonim dengan mimbar,
meja kuliah, streetdakwah, risalah makalah Islamik dan apa sahaja yang
boleh menarik orang kepada Islam.
Sudah pasti ada yang mempersoal. Apa guna berhabis ratusan ribu
semata-mata untuk mendirikan bangunan madrasah untuk budak yang belum
layak mengundi? Apa guna membazir tenaga mengedar risalah tentang solat
dan aurat, tetapi tidak berkempen supaya undi PAS? Ya. Memang tidak ada
guna kalau PAS sekadar parti bermatlamat kuasa.
CARA PAS BERPOLITIK
Di arena politik pun, PAS meletakkan Islam di hadapan. Kuasa mungkin
yang kedua atau ketiga. Walau parti-parti lain sibuk mengejar kuasa, PAS
akan pastikan Islam tidak terancam. PAS boleh bekerjasama dengan
sesiapa sahaja, asalkan mereka sanggup bersama PAS ke arah mempraktikkan
Islam. Begitu juga PAS akan bermusuh dengan sesiapa sahaja, selagimana
mereka memusuhi Islam.
Dua blok politik yang sering menjadi bualan,
iaitu BN dan PH. Tidak boleh dinafikan lagi keduanya berebut untuk
meraih kuasa. Bila mereka pasang matlamat akhir adalah kuasa, segala
langkah yang membawa ke arah kuasa itu adalah halal mesti dilakukan.
Jadi jangan hairan kenapa Mahathir yang dulu ditentang kerana
kezaliman terhadap rakyat, penindasan terhadap Islam dan korupsi di
zaman pemerintahannya, kini ditatang bagai minyak yang penuh. Siap
dilantik menjadi pemimpin teratas mereka (top-dog). Sehingga kini
Mahathir tidak pernah mengaku salah, meminta maaf, menarik balik atau
menunjukkan sebarang tanda-tanda insaf atas segala kedajalan lampau.
Tetapi kerana berkongsi matlamat merebut kuasa, semua itu dilupakan
mudah. Nasib Islam langsung tidak diperbincangkan secara jelas oleh
pakatan itu.
Jangan hairan juga kenapa Umno mahu bersama PAS dalam perjuangan
RUU355, tetapi masih tidak bertegas dalam isu RUU164. Mana-mana yang
menguntungkan matlamat kuasa, segalanya boleh dilakukan. Mana-mana yang
boleh mengancam kuasa, itu perlu dihindarkan. Itulah adat dunia politik.
DI TENGAH DUA BLOK
Walaupun kedua pihak tidak henti mengajak PAS bersama, bergabung
membentuk satu kekuatan politik bagi menghadapi pilihan raya, sehingga
kini PAS masih selesa bersama Gagasan Sejahtera (Gagasan). Pakatan ini
lebih memberi ruang yang luas kepada PAS untuk sampai kepada matlamat
perjuangannya. Membaiki negara dengan Islam.
Dalam waktu yang sama PAS sentiasa terbuka untuk sebarang rundingan,
sama ada PH atau BN, jika ia selari dengan perjuangan PAS. PAS sedia
berkongsi semangat perjuangan RUU355 dengan Umno, sehingga terpaksa
menentang PH. PAS juga boleh berkongsi bantahan GST dengan PH, sehingga
menentang Umno dan BN.
Yang pasti PH dan BN masih lagi berkongsi dua perkara sama, iaitu
mengejar kuasa. Jadi apakah mungkin mereka berpakat, sehingga terpaksa
menentang PAS? Apa yang mustahil dalam politik? Lima tahun lepas pun
kita rasa mustahil Lim Kit Siang akan bersama dengan Mahathir. Dulu pun
kita rasa mustahil Umno akan sokong tatacara jenayah syariah.
Mahathir sudah berkali-kali keluar masuk Umno. Tapi dulu dia
menentang Umno sebagai individu, dia masuk Umno juga sebagai individu.
Kini dia menentang Umno sebagai top-dog PH. Maka apakah mungkin dia
bakal masuk Umno kembali dengan semua dog-dog PH yang lain?
Dalam dunia politik, kita perlu letak semua kemungkinan itu. Politik
juga adalah seni sejuta kemungkinan. Jangan bimbang, PAS tidak akan rugi
jika berlaku sedemikian. Bahkan ia lebih baik untuk masa depan
perjuangan PAS yang mengguna pendekatan siasah nafas panjang. Yang rugi
hanya segelintir dalam PAS yang mengharap kemenangan segera.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan